Berita UtamaUtama

Pemuda PAS gesa penyiasat bebas, Suruhanjaya Diraja siasat dakwaan Bahri

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 5 Rabiulakhir 1438H, Rabu – Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) menggesa panel penyiasat khas dan Suruhanjaya Diraja ditubuhkan menyiasat dakwaan persaraan awal Pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Bahri Mohamad Zain.

Ketua Penerangan DPPM, Ahmad Fadhli Shaari berkata, persaraan Bahri melahirkan kebimbangan terhadap sistem pendakwaan di Malaysia, yang menimbulkan persoalan sekiranya wujud campur tangan eksekutif dalam SPRM.

Katanya, Bahri hari ini antara lain menyebut beliau ‘tidak mahu bersekongkol dengan perkara yang tidak baik’.

“DPPM menyifatkan kenyataan tersebut terbuka dan berani, sekali gus menandakan bahawa beliau sanggup menghadapi apa jua risiko akibat dakwaannya yang boleh mengundang persepsi terhadap sistem keadilan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bahri dilaporkan bersara awal berkuat kuasa 30 Disember lalu selepas kecewa dengan siasatan SPRM ke atas SRC International kerana tidak boleh di bawa ke mahkamah.

SRC International adalah anak syarikat pelaburan negara yang mencetuskan kontroversi dan skandal kewangan terbesar negara – 1Malaysia Development Berhad (1MDB) – sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Mengulas lanjut Ahmad Fadhli berkata, masyarakat sehingga kini masih ingat dengan jelas bagaimana isu syarikat itu diakhiri dengan penuh misteri.

“Ia bermula dengan serbuan SPRM terhadap tiga buah syarikat SRC International Sdn Bhd, Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd pada awal Julai 2015 bagi menyiasat dakwaan bahawa tiga buah syarikat tersebut terbabit dengan pemindahan sejumlah dana yang besar ke akaun Perdana Menteri.

Namun, katanya, ia menjadi kontroversi apabila khidmat Tan Sri Gani Patail sebagai Peguam Negara ditamatkan serta-merta selepas serbuan itu atas alasan kesihatan.

“Ia diikuti pula dengan pemindahan keluar dua orang pegawai SPRM yang mengendalikan kes tersebut iaitu Datuk Bahri Mohamad Zin dan Pengarah Komunikasi Strategik SPRM, Datuk Rozaid Yaakob dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Sekalipun arahan pertukaran tersebut dikatakan tidak dikuatkuasakan, namun ia telah mengundang satu persepsi di kalangan rakyat bahawa kerajaan bermain ‘silap mata’ dalam isu ini,” katanya.

Ahmad Fadhli berkata, SPRM sepatutnya diletakkan seperti institusi hisbah dalam kerajaan, yang bebas untuk menyiasat dan mendakwa tanpa sebarang campur tangan eksekutif.

“Institusi hisbah seumpama SPRM adalah mekanisme untuk melaksanakan fungsi semak dan imbang kepada sesebuah pemerintahan.

“Jika wujudnya campur tangan politik terhadap institusi hisbah seperti SPRM, ia menjejaskan pihak pelaksana hisbah (dalam kes ini SPRM) untuk menunaikan kewajipan mereka kepada Allah SWT dan amanah mereka kepada masyarakat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker