Berita UtamaUtama

Rahman Dahlan kata SRC International tak dibawa ke mahkamah sebab tiada kes

KUALA LUMPUR, 5 Rabiulakhir 1438H, Rabu – Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, siasatan ke atas SRC International Sdn Bhd tidak berakhir dengan pendakwaan kerana tidak ada kes.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas Pengarah Bahagian Siasatan Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Bahri Mohd Zin yang memilih untuk bersara awal kerana kecewa dengan kes SRC International.

Abdul Rahman berkata, Peguam Negara memutuskan sama ada sesuatu kes akan didakwa atau sebaliknya untuk mengelakkan mana-mana pihak daripada menyalahgunakan kuasa mereka, termasuk pihak yang menyiasat.

Menurutnya, jikalau pihak penyiasat mempunyai niat untuk menganiaya orang yang disiasat, maka pihak yang mendakwa boleh menghalang.

“Kalau pihak penyiasat dan pendakwa pula bersengkokol untuk menganiaya orang yang disiasat dengan mendakwa orang yang disiasat itu, maka pihak mahkamah (hakim) boleh menjadi penghalang kepada niat buruk mereka itu.

“Itulah tujuan kenapa kuasa menyiasat, kuasa mendakwa dan kuasa menghukum itu diasingkan oleh sistem perundangan kita,” katanya dalam satu kenyataan media.

Menepis kenyataan Bahri, Abdul Rahman berkata, pandangan Bahri dalam kes SRC semestinya benar dan pandangan Peguam Negara itu salah.

“Hanya kerana Peguam Negara tidak bersetuju dengan rumusan beliau, tidak bermakna Peguam Negara telah melakukan kesalahan dan tidak mempunyai integriti,” katanya.

Katanya, beliau pernah dimaklumkan semasa menjadi ahli Jawatankuasa SPRM mengenai rasuah dahulu bahawa banyak juga kes-kes yang disiasat oleh agensi itu tidak dituduh di mahkamah oleh Peguam Negara atas pelbagai sebab.

“Antaranya ialah kerana tidak cukup bukti, penyiasatan yang gopoh dan ketiadaan merit untuk pendakwaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker