Ringgit terus jatuh hari ini
KUALA LUMPUR, 5 Rabiulakhir 1438H, Rabu – Ringgit ditutup rendah hari ini, berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) – menghampiri paras RM4.88 ketika krisis ekonomi pada 1998 – apabila didagangkan pada 4.4960/4990 berbanding dolar AS.
Pada dagangan jam 11.20 pagi tadi sehingga tengah hari, ringgit diniagakan melebihi paras psikologi RM4.50 hingga RM4.5002.
Bernama melaporkan peniaga mendakwa pelabur bimbang terhadap unjuran kenaikan kadar faedah AS tahun ini.
“Sejak November, unit tempatan serta mata wang lain di Asia susut apabila pulangan bon AS dan dolar AS meningkat disebabkan faktor cadangan dasar ekonomi dan perdagangan negara itu oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang baru dilantik,” katanya.
Berbanding mata wang utama lain, ringgit didagangkan rendah.
Unit tempatan susut berbanding yen kepada 3.8202/8231 berbanding 3.7990/7058 semalam dan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.1099/1126 daripada 3.0951/0991.
Ia juga lemah berbanding pound British kepada 5.5197/5239 daripada 5.5169/5248 sebelumnya, namun mengukuh berbanding euro kepada 4.6929/6974 daripada 4.6700/6761 pada Selasa.