SPRM tangkap KSU, rampas jongkong emas, wang tunai RM3 juta
BANGI, 5 Rabiulakhir 1438H, Rabu – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangkap seorang Ketua Setiausaha (KSU) sebuah kementerian dan seorang individu, serta merampas wang tunai dan jongkong emas bernilai kira-kira RM3 juta.
Penangkapan kedua-dua individu berkenaan disahkan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, KSU berpangkat ‘Datuk’ itu ditahan dipercayai menyalahgunakan kuasa jawatan dan kedudukannya menerima rasuah daripada pihak yang berkepentingan.
Turut sama ditahan ialah seorang individu lelaki berusia 29 tahun yang dipercayai berperanan menerima serta menyimpan wang hasil rasuah daripada kontraktor, pembekal dan vendor yang mempunyai kepentingan dengan KSU terbabit.
“Kedua-dua suspek ditahan di sekitar Subang Jaya kira-kira jam 8 pagi hari ini. Setakat ini, SPRM telah merampas dan menyita wang tunai dan jongkong emas yang dianggarkan bernilai kira-kira RM3 juta,” katanya.