Kafir bermaksud bukan Islam, bukan persenda orang
Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin
BANGI, 6 Rabiulakhir 1438H, Khamis – Perkataan ‘kafir’ bukanlah ungkapan kata lucah, marah atau mempersendakan orang, kata Ketua Pemuda DHPP Perak, Yougan Mahalingam.
Sebaliknya, beliau berkata, kafir hanyalah membawa maksud bukan Islam atau dalam bahasa Inggerisnya, ‘non-Muslim’.
Katanya, rakyat Malaysia seharusnya bersatu untuk menguatkan persefahaman antara kaum dan mengenali budaya semua masyarakat.
“Saya mahu semua sedar kepentingan akan kepercayaan kepada tuhan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di Harakahdaily, hari ini.
Pada masa yang sama, Yougan turut meluahkan kesenangannya berada dalam parti Islam itu dan malah semakin mencintai rakan-rakan seperjuangan dalam PAS.
Beliau berkata, PAS menghormati semua agama dan budaya di Malaysia dan beliau sendiri berasa selamat dan bebas mengamalkan kepercayaannya.
“Saya mahu semua yang kafir sedar yang rakan-rakan Islam PAS adalah antara rakan kemestian yang perlu mereka ada.
“Sesekali tidak pernah ahli PAS mendesak atau memaksa saya menukar agama bahkan saya selamat dan akan terus menyokong PAS,” katanya.