Kenapa Timbalan Ketua Menteri Melayu, India tak dilantik ganti Guan Eng?
KUALA LUMPUR, 6 Rabiulakhir 1438H, Khamis – Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Pulau Pinang, Jasmin Noordin, hari ini mempersoalkan tindakan Lim Guan Eng yang melantik Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chan Kon Yeow sebagai pengganti bagi jawatan Ketua Menteri dan bukannya Timbalan Ketua Menteri negeri itu.
Sedangkan, Guan Eng sudah mempunyai dua timbalan ketua menteri berbangsa Melayu dan India tetapi pada akhirnya tetap memilih kaumnya juga untuk menggalas jawatan itu.
Walhal, sebelum ini, penasihat veteran parti rasis dan cauvinis DAP itu yang juga bapa kepada Guang Eng, Lim Kit Siang lantang menafikan bahawa partinya rasis namun, sebaliknya berlaku dalam tindakannya.
“Jika benar DAP adalah sebuah parti pelbagai kaum, mengapa mereka tetap melantik Chan Kon Yeow sebagai pengganti Guan Eng, sedangkan ada dua Timbalan Ketua Menteri berbangsa Melayu dan India di negeri tersebut?
“Jika benar mereka tidak rasis, mengapa DAP tidak lantik pemimpin Melayu atau India untuk menggantikan tempat Guan Eng sebagai ketua menteri?
“Saya rasa Kit Siang tidak payahlah nak cabar mana-mana pihak untuk buktikan bahawa DAP itu sebuah parti rasis kerana sudah terlalu banyak bukti daripada tindak tanduk dan kenyataan kepimpinan mereka selama ini yang menggambarkan sikap rasis dan cauvinis mereka. Bagaimana pula dengan ahli jawatankuasa parti yang 90 peratusnya terdiri daripada orang-orang Cina?,” katanya yang dipetik dari UMNO-Online, hari ini.
Malah, kenyataan Kit Siang yang cuba menafikan DAP sebuah parti rasis sebaliknya mengatakan parti tersebut kononnya merupakan sebuah parti pelbagai kaum disifatkan Jasmin sebagai satu tindakan yang sia-sia dan seolah-olah mahu memperbodohkan rakyat di negara ini.
Katanya, segala tindakan pemimpin DAP yang cuba untuk membuang imej parti rasis dan cauvinis itu hanyalah perbuatan yang sia-sia kerana sikap dan kenyataan kepimpinan DAP tidak pernah berubah.
“Saya hairan dengan kenyataan penasihat DAP itu. Apakah Kit Siang menganggap rakyat bodoh dan boleh menerima bulat-bulat dakwaan kononnya DAP bukan parti rasis? Dan apakah Kit Siang rasa rakyat di negara ini buta daripada melihat tindak tanduk dan kenyataan pemimpin DAP yang amat suka mempermainkan sentimen sensitif seperti agama dan kaum selama ini?
“Biar apa juga sekali alasan yang diberikan oleh pemimpin DAP, ia tetap tidak dapat menutup atau menidakkan fakta bahawa DAP selama ini semenangnya adalah sebuah parti yang hanya memperjuangkan nasib satu kaum sahaja.
“Bagi saya DAP tidak pernah berubah. Baik dari sudut ideologi politiknya dan juga pemimpin daripada dinasti Lim yang masih kekal menerajui parti tersebut. Saya yakin rakyat di negara ini, khususnya sebahagian besar orang Melayu di negara ini mempunyai pandangan yang sama dengan saya.