Laporan suruhanjaya Myanmar di Rohingya ‘cacat’: HRW
RAKHINE, 6 Rabiulakhir 1438H, Khamis – Satu suruhanjaya menyiasat keganasan di Rakhine, Myanmar menafikan pasukan keselamatan negaranya telah mendera umat Islam Rohingya.
Bagaimanapun, laporan suruhanjaya yang dilantik oleh rejim Myanmar itu sendiri diselar oleh Human Rights Watch (HRW), sebuah kumpulan hak asasi yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Suruhanjaya itu dalam satu laporan interimnya menolak dakwaan bahawa pasukan keselamatan telah melakukan penyalahgunaan atau mengadakan kempen untuk memaksa umat Islam Rohingya keluar.
“Bilangan penduduk Bengali, masjid dan bangunan agama di kawasan pergolakan adalah bukti bahawa tidak ada kes-kes pembunuhan beramai-ramai dan penindasan agama,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam media tempatan.
Laporan suruhanjaya itu dikeluarkan semalam, sehari selepas video yang muncul menunjukkan polis memukul orang awam yang terdiri daripada minoriti Islam.
Umum mengetahui, Myanmar enggan mengiktiraf Rohingya sebagai salah satu etnik minoriti di negara ini dan malah melabel mereka sebagai Benggali atau pendatang tanpa izin dari negara jiran Bangladesh.
Suruhanjaya yang diketuai oleh bekas jeneral tentera yang turut disenarai hitam oleh Washington baru-baru ini, juga mengatakan bahawa bukti kononnya masih tidak cukup untuk mengatakan ada kes rogol dan masih mencari bukti dakwaan membakar, tangkapan haram dan penyeksaan Rohingya.
Susulan itu, HRW menggelar laporan itu sebagai “metodologi cacat”.
“Ia adalah satu contoh klasik kesimpulan politik untuk menegaskan bahawa keadaan tidak begitu buruk, yang direka untuk menolak kembali terhadap tekanan masyarakat antarabangsa,” kata kumpulan hak asasi itu. – Agensi
BERITA BERKAITAN:
http://www.ismaweb.net/2017/01/video-bukti-rejim-myanmar-lakukan-kekejaman-terhadap-muslim-rohingya/