Tentera Israel tembak mati rakyat Palestin berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun
TEL AVIV, 6 Rabiulakhir 1438H, Khamis – Tentera Israel yang menembak mati seorang rakyat Palestin pada Mac tahun lalu didapati bersalah dan berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun.
Tentera Israel itu, Elor Azaria, didakwa membunuh pemuda Palestin, Abed al-Fatah al-Sharif di al-Khalil di bahagian kepala ketika mangsa terbaring di atas tanah.
Bagaimanapun, Hakim Kolonel Maya Heller yang mengambil masa lebih daripada dua jam untuk membaca keputusan penghakiman, telah mengkritik dan membidas hujah peguambela Azaria.
Ketika penghakiman yang mewakili tiga panel hakim, Heller berkata, tidak ada sebab untuk Azaria melepaskan tembakan berkenaan, memandangkan rakyat Palestin itu tidak mendatangkan ancaman.
Malah, beliau menyifatkan keterangan Azaria sebagai ‘berubah-ubah dan bersifat mengelak’.
Azaria, yang mendapat sokongan daripada ahli politik berhaluan kanan telah dibicarakan di mahkamah tentera sejak Mei tahun lalu.
Perbicaraan itu menyebabkan keadaan negara berkenaan terbahagi dua, malah kejadian pembunuhan itu mendapat kutukan kepemimpinan tertinggi tentera.
Hukuman terhadap Azaria akan dijatuhkan pada tarikh yang bakal diumumkan kemudian. -Agensi