Kanak-kanak 3 tahun dijumpai seorang diri di rumah
TAMPIN, 7 Rabiulakhir 1438H, Jumaat – Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun ditemui dalam keadaan bogel, dipercayai ditinggalkan bersendirian oleh ibunya di sebuah rumah di Kampung Parit Buluh, Air Kuning Selatan dekat sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Tampin, Supt Hamazah Ab Razak berkata, kanak-kanak yang dipercayai ditinggalkan seorang diri sejak 6 petang semalam ditemui kira-kira pukul 1 pagi dalam keadaan lapar dan menangis ketakutan.
“Pihak polis menerima laporan daripada ketua kampung pada pukul 12.45 tengah malam yang menyatakan terdengar bunyi budak sedang menangis di dalam sebuah rumah dalam keadaan gelap dan berkunci.
“Bertindak atas laporan awal, sepasukan polis dan orang kampung memecah masuk ke rumah tersebut dan menjumpai seorang kanak-kanak lelaki dalam keadaan tidak berbaju sedang menangis,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Hamazah berkata, pemeriksaan awal mendapati kanak-kanak tersebut tiada kecederaan luaran dan dia telah diberi makan dan minum oleh polis yang menjumpainya.
Siasatan lanjut mendapati ibu kanak-kanak tersebut, seorang wanita warga tempatan berusia 29 tahun, meninggalkan anaknya bersendirian kerana perlu menguruskan ibunya yang sakit mental di Felda Jelai 1 selain membantu menguruskan ibu tirinya di Londah yang baru terlibat dalam kemalangan.
Hamazah berkata, selain kanak-kanak tersebut, wanita yang tidak bekerja itu juga mempunyai tiga anak hasil perkahwinan pertamanya.
“Wanita itu tidak membawa anak bongsunya kerana anggota keluarganya yang lain tidak mengetahui kewujudan kanak-kanak tersebut berikutan kanak-kanak itu merupakan anak luar nikah hasil hubungannya dengan teman lelaki warga Indonesia, yang sudah meninggalkannya.
“Suami kedua wanita tersebut yang bekerja sebagai pemandu lori juga tidak mengetahui kanak-kanak itu merupakan anak kepada isterinya kerana menyangka anak itu merupakan anak kepada kawan isterinya,” katanya.
Hamazah berkata, rakaman percakapan jiran dan ketua kampung juga menyatakan tidak tahu akan kewujudan kanak-kanak yang tidak didaftarkan kelahirannya di Jabatan Pendaftaran Negara.
Hamazah berkata, kanak-kanak tersebut telah dihantar ke Hospital Tampin untuk pemeriksaan lanjut dan kini berada dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
“Wanita terbabit telah ditahan reman sehingga Isnin depan dan kes disiasat di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2001.
“Pihak polis memandang berat kes ini dan menyeru masyarakat peka dan semampu mungkin dapat mengelakkan kejadian berkenaan.
“Saya memuji usaha ketua kampung dan penduduk yang prihatin dengan keadaan sekeliling mereka, sekali gus dapat menyelamatkan kanak-kanak berkenaan,” katanya. – Bernama