Media sosial penjawat awam, isteri pamer gaya hidup mewah dipantau: SPRM
KUALA LUMPUR, 7 Rabiulakhir 1438H, Jumaat – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini giat memantau laman sosial penjawat awam yang gemar menunjuk-nunjuk gaya hidup mewah mereka.
Malah, isteri para penjawat awam juga tidak terlepas daripada dipantau terutama sekali mereka yang gemar menunjuk-nunjuk dengan memuatnaik gambar barangan mewah yang dimiliki seperti beg dan jam tangan, selain percutian keluarga bertaraf lima bintang.
Perkara ini disahkan oleh Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki yang memaklumkan bahawa mereka mengikuti status penjawat awam di laman media sosial terutama Facebook dan Instagram.
“Tidak salah bagi penjawat awam dan ahli keluarga untuk memiliki beg tangan dan jam tangan mewah.
“Tetapi memiliki lebih daripada satu beg tangan mewah jenama Hermes, Chanel atau Louis Vuitton boleh menimbulkan keraguan dan rasa syak mengenai dari mana datangnya sumber kewangan itu.
“Jika penjawat awam atau ahli keluarga mereka memiliki banyak beg tangan mewah dan menunjuk-nunjuk pula, kami mahu tahu dari mana mereka dapatkan wang untuk membeli barangan mewah itu.
“Kami bergantung kepada maklumat awam dan bukti yang dikumpul pegawai risikan bagi menyiasat kegiatan yang dikesan,” katanya sambil berkata ia tugasan mencabar kerana melibatkan 1.6 juta penjawat awam.
Azam berkata demikian sebagai mengulas siasatan terkini berkaitan dakwaan rasuah melibatkan seorang ketua setiausaha sebuah kementerian apabila sejumlah barangan mewah termasuk 150 beg tangan dan jam dirampas dan disita dalam operasi di sebuah rumah di Subang Jaya pada Rabu.
Selain itu, aktiviti bermain golf di luar negara melibatkan penjawat awam berjawatan tinggi, serta kegiatan pegawai kerajaan peringkat pertengahan dan rendah juga dipantau rapi kerana ada kes di mana gaya hidup mereka tidak seiring dengan pendapatan bulan.
Azam berkata, pihaknya juga akan bekerjsama rapat dengan pihak berkuasa lain seperti Jabatan Imigresen bagi memeriksa kekerapan perjalanan penjawat awam terlibat ke luar negara bersama ahli keluarga dan tujuan berbuat demikian.
“Inilah antara petunjuk yang digunakan sebagai sebahagian langkah siasatan terhadap penjawat awam yang menjalani kehidupan melebihi keupayaan mereka,” katanya.
Selasa lalu, Azam menerusi radio online suruhanjaya itu, MACCfm. berkata, penjawat awam yang menaiki pesawat menggunakan kelas bisnes ke luar negara untuk bermain golf dan diiringi teman wanita serta perempuan simpanan turut disiasat terlibat dalam penyalahgunaan kuasa dan rasuah.