Berita UtamaUtama

Misi Food Flotila For Myanmar ditunda sehingga 31 Januari

KUALA LUMPUR, 7 Rabiulawal 1438H, Jumaat – Misi Food Flotilla for Myanmar yang dijadualkan berlepas pada 10 Januari ini ditunda sehingga 31 Januari atas urusan diplomatik.

Presiden Kelab Putera 1Malaysia (KP1M), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, penundaan tersebut dilakukan bagi menghormati perundangan dan kedaulatan kerajaan Myanmar untuk memberikan kelulusan kepada misi ini.

“Perjuangan kita adalah perjuangan kemanusiaan semata-mata, memberikan bantuan kepada Myanmar khususnya masyarakat Rohingya di wilayah Rakhine.

“Kita sangat berharap agar kerajaan Myanmar dapat memberikan kelulusan kepada misi ini. Sekiranya masih tiada kelulusan sehingga 31 Januari, kita akan teruskan misi dan menuju ke Teknaf, Bangladesh, bagi memberikan bantuan kepada pelarian Rohingya dari Maungdaw,” katanya pada sidang media misi tersebut di sini semalam.

Katanya, masalah urusan diplomatik yang timbul pada ketika ini merupakan salah faham kerajaan Myanmar yang mendakwa penganjur misi tidak menghantar permohonan melalui kerajaan Malaysia.

“Sebenarnya, kita telah menghantar permohonan kepada kerajaan Myanmar pada 12 Dis lalu melalui Wisma Putra. Namun sehingga hari ini, kita masih belum mendapat apa-apa keputusan,” jelasnya.

Beliau berkata, sebelum ini KP1M pernah menghantar bantuan kemanusiaan ke Sittwe pada tahun 2012 dan telah mendapat kerjasama yang baik daripada kerajaan Myanmar dan pasukan tentera mereka.

Sementara itu, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, penganjur utama flotilla iaitu Mapim, KP1M dan TDV Turki bersepakat bahawa mereka tidak akan melanggar undang-undang negara Myanmar dan undang-undang antarabangsa.

Katanya, mereka hanya mahu diberi akses untuk menyampaikan sendiri bantuan tersebut.

“Sebagaimana tercatat dalam Deklarasi Hak Manusia Asean bahawa setiap nyawa awam hendaklah dilindungi, maka Flotilla meminta agar objektif utama misi ini untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan diberi laluan dan kerjasama sepenuhnya oleh pihak berkuasa Myanmar.

“Kami juga menegaskan bahawa kami menghormati kedaulatan negara Myanmar tetapi dalam masa yang sama kami juga meminta negara tersebut juga mematuhi hak orang awam yang menjadi mangsa dalam konflik tersebut dilindungi.

“Ini termasuk memberi akses kepada agensi dan mana-mana NGO kemanusiaan untuk menyampaikan bantuan kepada mangsa tidak kira agama ataupun bangsa,” katanya.

Beliau berkata, urusetia Flotilla sudah menghantar surat kepada Setiausaha Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), OIC dan Asean serta beberapa ketua negara seperti Turki, Indonesia, Saudi supaya turut menyokong dan membantu untuk menjayakan flotilla tersebut.

Misi pelayaran Flotilla ini dijangka akan mengambil masa 15 hingga 19 hari pergi dan balik dan akan merentas lautan Andaman dan Teluk Bengal.

Sehingga kini, sebuah kapal dari Malaysia telah muktamad diperolehi untuk menjayakan Flotilla dengan muatan 2,000 tan.

Peserta NGO dari negara seperti Thailand, Indonesia, Turki, China, Perancis, Holland, Bangladesh, Kemboja, Kuwait dan UK adalah antara negara yang akan menyertai.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker