2016 ‘tahun berdarah’ untuk kanak-kanak Palestin di Tebing Barat
TEBING BARAT, 8 Rabiulakhir 1438H, Sabtu – 2016 menjadi tahun berdarah kepada lebih 30 kanak-kanak Palestin di Tebing Barat termasuk Timur Jerusalem berikutan perbuatan kejam rejim Israel, kata kumpulan hak asasi Pertahanan untuk Kanak-Kanak Antarabangsa (DCI).
Menurut kumpulan itu, seramai 32 orang kanak-kanak Palestin (bawah 18 tahun) dibunuh, menjadikan 2016 sebagai tahun yang dasyat dalam tempoh 10 tahun ini.
Pada tahun 2015, jumlah orang awam di bawah 18 tahun terbunuh di Tebing Barat termasuk di Jerusalem hanya 28 orang. Sementara 2014, 13 kanak-kanak terbunuh, dan empat orang pada 2013.
Katanya, kebanyakan mereka dibunuh ketika serbuan rejim Israel ke atas bandar-bandar Palestin di Tebing Barat, konfrontasi atau sewaktu protes tidak bersenjata dilakukan.
“Rejim Israel menggunakan kaedah tembakan untuk membunuh. Mereka mempunyai ‘lampu hijau’ untuk membunuh rakyat Palestin, dan sewenang-wenangnya melakukan perbuatan itu,” kata Pengarah DCI, Ayed Abu Eqtaish.
Sejak Oktober 2015, rejim Israel bertanggungjawab dalam pembunuhan sekurang-sekurangnya 244 rakyat Palestin, termasuk penunjuk perasaan yang tidak bersenjata, pemerhati dan penyerang – dikenali sebagai ‘Intifada Jerusalem’.
“Oleh kerana keadaan politik, terutamanya pemberontakan Jerusalem sejak Oktober 2015, bilangan meningkat dengan ketegangan serta pertempuran antara rejim Israel dan Palestin,” kata Abu Eqtaish.- Agensi