Banjir: Hanya empat sekolah di Terengganu ditutup esok
KUALA TERENGGANU, 8 Rabiulakhir 1438H, Sabtu – Hanya empat sekolah rendah akan ditutup esok, kata Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin.
Katanya, dua sekolah berkenaan ialah di Kuala Nerus iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak dan SK Bukit Guntong kerana kedua-duanya menjadi pusat pemindahan sementara untuk mangsa banjir.
“Sebuah sekolah di Setiu iaitu SK Sungai Las pula ditutup kerana masalah pendawaian elektrik yang tidak selamat dan sebuah lagi di Kuala Terengganu iaitu SK Banggol Peradong dekat Manir yang turut dijadikan pusat pemindahan banjir.
“Penutupan empat sekolah itu melibatkan 1,970 murid, 180 guru dan 28 kakitangan lain,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Semua sekolah di daerah yang terjejas teruk akibat banjir minggu lepas iaitu Hulu Terengganu dan Besut pula akan dibuka esok setelah sesi pembersihan selesai petang ini.