Berita UtamaUtama

Dana 1MDB: Warga Barat pertama dituduh di mahkamah Singapura

BANGI, 8 Rabiulakhir 1438H, Sabtu – Eksekutif bank Swiss di Singapura, menjadi warga Barat pertama berdepan tuduhan jenayah membabitkan kecurian berbilion ringgit daripada syarikat pelaburan Malaysia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Jens Sturzenegger, bekas ketua di Falcon Private Bank cawangan Singapura, dijangka mengaku bersalah terhadap 16 pertuduhan, kebanyakannya membabitkan pemalsuan dan memiliki maklumat, kata peguamnya Tan Hee Joek, kepada mahkamah kelmarin.

Kes itu yang terbaharu dibicarakan di Singapura berhubung skandal 1MDB, yang turut disiasat di Amerika Syarikat (AS) dan Switzerland serta beberapa negara di mana wang yang dicuri disimpan. Tuduhan itu mencetuskan krisis politik dan turut membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang menafikan penglibatan beliau.

Selain sebagai Perdana Menteri, Najib juga adalah Menteri Kewangan dan Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

Sturzenegger, yang ditahan Oktober lalu, dituduh melakukan kesalahan berkaitan pemindahan sejumlah wang lebih S$1.25 bilion. Dia merancang mengakui kesalahannya, kata Hee Joek.

Antara lain, dia dituduh berbohong kepada pihak berkuasa dengan menafikan bahawa beberapa akaun di Falcon Bank ada kaitan dengan ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low.

Jho Low yang rapat dengan Najib dituduh oleh pihak berkuasa AS sebagai memainkan peranan penting dalam pengubahan haram dana 1MDB. Dia, bagaimanapun tidak pernah dituduh di mahkamah.

Falcon yang dimiliki International Petroleum Investment Company (Ipic) dari Abu Dhabi, muncul sebagai pemain utama dalam kes 1MDB. Pada Oktober lalu, Falcon didenda oleh pihak berkuasa Swiss dan menutup operasinya di Singapura atas dakwaan memproses hampir S$4 bilion wang dikaitkan dengan 1MDB.

Tindakan Singapura ke atas Sturzenegger juga seiring saman pihak berkuasa AS pada Julai lalu untuk merampas aset yang didakwa dibeli menggunakan dana 1MDB yang diseleweng.

Sturzenegger juga dituduh gagal melaporkan pemindahan mencurigakan S$378 juta pada Mac 2013 daripada akaun milik Granton Property Holding kepada sebuah syarikat – Dragon Market.

Pihak berkuasa AS secara berasingan mendakwa transaksi yang sama adalah sebahagian daripada komplot mengepam lebih S$2.5 bilion daripada dua bon bernilai S$6.5 bilion milik 1MDB pada 2012 dan 2013 yang dijamin oleh Ipic.

Saman AS, yang tidak menamakan Sturzenegger, mendakwa Jho Low adalah pemilik benefisial akaun Dragon Market.

Selain itu, Sturzenegger juga dituduh gagal melaporkan pemindahan mencurigakan S$9.19 juta kepada syarikat Helly Nahmad Gallery Inc. Saman AS tidak menamakan galeri itu, tetapi menyatakan Jho Low serta individu lain menggunakan wang 1MDB untuk membeli hasil seni bernilai S$130 juta, termasuk dua lukisan Claude Monet dan satu oleh Vincent van Gogh.

Falcon bank telah diletakkan di bawah penelitian lanjut selepas pihak berkuasa Swiss menuduhnya gagal menyiasat latar belakang komersil sejumlah S$681 juta ‘melepasi transaksi’ pada 2013. S$681 juta adalah jumlah tepat bayaran misteri dibuat tatkala Najib menjadi Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB.

Peguam Negara Malaysia, Tan Sri Mohamed Apandi Ali sebelum ini berkata, wang yang dimasukkan ke akaun peribadi Najib adalah pemberian daripada keluarga diraja Arab Saudi. Kenyataan itu tidak pernah disahkan secara bebas. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker