Berita UtamaUtama

Kes tikus: 7-Eleven mohon maaf, kata kes terpencil

BANGI, 8 Rabiulakhir 1438H, Sabtu – Kedai rangkaian serbaneka 24 jam, 7-Eleven memohon maaf susulan tersebarnya gambar kejadian tikus memasuki mesin pemanas makanan di salah satu premis cawangan itu di media sosial.

Kejadian berkenaan didakwa berlaku pada 2 Januari lalu di cawangannya di Kelana Centre Point.

7-Eleven dalam satu kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung kejadian itu dan menyifatkan bahawa ia sebagai kes terpencil.

“Kami segera menjalankan siasatan dalaman kami dan bekerjasama dengan pejabat Kementerian Kesihatan daerah Petaling mengenai perkara itu,” katanya.

7-Eleven berkata, pihaknya mempunyai jaminan kualiti audit dan langkah kawalan serangga atau binatang perosak untuk mencegah kejadian tersebut.

“Keselamatan dan kesejahteraan pelanggan kami adalah amat penting kepada kami dan ingin menegaskan bahawa 7-Eleven Malaysia memastikan semua produk makanan kami adalah berkualiti tinggi dan dihasilkan secara bersih.

“Sekali lagi, kami ingin memohon maaf dan mengucapkan terima kasih kepada pelanggan kami kerana kesabaran dan pemahaman anda sementara kami mengambil tindakan pembetulan lagi untuk mengelakkan kejadian seperti itu daripada berlaku lagi,” katanya.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan mengingatkan pelanggan supaya berwaspada membeli makanan yang telah siap dimasak di mana-mana kedai serbaneka.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, siasatan dan pemeriksaan ke atas premis berkenaan telah dilakukan selepas gambar kejadian itu menjadi viral.

“Hasil siasatan menunjukkan bahawa kabinet kaca seperti dalam gambar yang menjadi viral ditutup rapat sepenuhnya. Kementerian memandang serius semua perkara berkaitan keselamatan makanan.

“Pengguna boleh menghubungi Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan terdekat atau melayari laman web kementerian atau Facebook bagi mengakses Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan jika ada aduan mengenai keselamatan makanan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker