Malaysia mohon tambahan 8,000 kuota jemaah haji
GEORGETOWN, 8 Rabiulakhir 1438H, Sabtu – Malaysia memohon tambahan kuota haji sebanyak 8,000 untuk jemaah negara daripada kerajaan Arab Saudi bermula tahun ini.
Pengerusi Lembaga Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, pihaknya menerima surat daripada Arab Saudi untuk membincangkan perkara itu pada 25 Januari ini.
Beliau berkata, mesyuarat itu akan turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan beberapa wakil TH.
Katanya, ketika ini kuota yang diberikan kepada jemaah haji Malaysia sebanyak 22,320 setahun, namun ia masih tidak mencukupi.
“Bagaimanapun, ketika ini jumlah rakyat kita mencecah 30 juta dan dengan nisbah satu peratus penduduk, kita layak menerima kuota sebanyak 30,000.
“Kita mengharapkan keputusan yang positif supaya masyarakat Malaysia yang sudah lama menunggu giliran mengerjakan haji dapat peluang itu,” katanya kepada pemberita, hari ini.