Berita UtamaUtama

PAS anjur himpunan sokong RUU 355 18 Februari

SHAH ALAM, 8 Rabiulakhir 1438H, Sabtu – PAS hari ini mengumumkan penganjuran pehimpunan ‘raksasa’ menyokong Rang Undang-Undang 355 (RUU355) yang akan diadakan pada 18 Februari depan.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Himpunan 355 itu dijangka berlangsung di Dataran Merdeka dengan bertemakan Ungu.

Beliau mensasarkan lebih 300,000 peserta terdiri daripada ahli-ahli pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti-parti politik dan juga penyokong Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang membawa usul itu di Parlimen pada Mei tahun lalu.

“Objektif kami adalah untuk memberi penjelasan mengenai keperluan pindaan Akta itu dan mengapa ia mesti disokong, terutamanya Ahli-Ahli Parlimen,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Sekretariat Ummat Menyokong Memperkasakan Akta 355 (Ummat), Aminuddin Yahaya dan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar.

Tuan Ibrahim berkata, pihak yang menentang pindaan rang undang-undang itu tidak memahami sepenuhnya, dan himpunan berkenaan adalah satu cara untuk meredakan ketegangan sekeliling dalam suasana yang harmoni.

Katanya, PAS telah memohon permit untuk mengadakan perhimpunan itu, dan kini masih menunggu kelulusan rasmi.

Ditanya sama ada parti politik lain termasuk UMNO, DAP, Parti Amanah Negara (PAN) dipelawa, beliau berkata, pihaknya telah menghantar jemputan kepada semua parti itu.

Sebelum ini, Abdul Hadi meminta supaya pindaan rang undang-undang (RUU) persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau RUU 355 ditangguhkan ke sidang akan datang pada Mac 2017.

Penangguhan itu bertujuan membolehkan pindaan RUU 355 dilakukan pada tahun hadapan kerana terdapat unsur polemik di kalangan masyarakat walaupun akta itu membabitkan umat Islam dan Majlis Raja-raja.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker