Polis tahan wanita disyaki dera anak tiri
SHAH ALAM, 8 Rabiulakhir 1438H, Sabtu – Polis menahan seorang wanita kerana disyaki mendera anak tirinya yang berusia 11 tahun pada 1 Januari lalu di sebuah rumah di Taman Seri Perantau, Pelabuhan Klang, dekat sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Alzafny Ahmad berkata, wanita berumur 33 tahun itu ditahan pada jam 2.30 petang di rumahnya, selepas ibu kandung mangsa membuat laporan polis Rabu lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.
Katanya, siasatan awal mendapati kanak-kanak perempuan yang didera itu berada di bawah jagaan ibu tirinya setelah ibu bapa kandungnya berpisah tujuh tahun lalu.
Bapa mangsa mendapat hak penjagaan kanak-kanak itu selepas pasangan itu berpisah, katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
“Berdasarkan maklumat pengadu (ibu kandung mangsa), dia mengetahui tentang kejadian itu setelah bekas suaminya memberitahu anaknya sakit dan bengkak pada bahagian mata, Isnin lalu.
“Pengadu kemudiannya pergi ke rumah bekas suaminya pada Selasa lalu dan mangsa (anaknya) memberitahu dia telah dipukul dengan batang penyapu oleh ibu tirinya pada 1 Januari lalu, sebelum ibunya kemudian membuat laporan polis,” katanya.
Gambar mangsa yang bengkak dan cedera di bahagian mata tersebar di laman sosial hari ini selepas ia dimuat naik oleh ibunya.
Kata Alzafny, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
“Suspek direman sehingga Selasa (10 Jan) manakala mangsa kini stabil selepas menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang,” katanya. – Bernama