PRU14: UMNO, PAN mungkin bekerjasama untuk tumbangkan PAS di Kelantan
KOTA BHARU, 8 Rabiulakhir 1438H, Sabtu – UMNO dan Parti Amanah Negara (PAN) mungkin bekerjasama pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), bagi menumbangkan kerajaan PAS Kelantan, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah.
“PAN mungkin bekerjasama dengan UMNO untuk tumbangkan kerajaan PAS di Kelantan seperti yang pernah dilakukan Berjasa pada PRU 1978.
“Kemungkinan itu tidak dapat ditolak, boleh jadi UMNO taja calon daripada PAN di kawasan yang mereka anggap boleh menang,” katanya pada seminar Kekal Kelantan dan Budaya Politik Matang Sejahtera di Putik, hari ini.
Berjasa, parti serpihan PAS yang diketuai Datuk Mohamad Nasir, bekerjasama dengan UMNO bagi menumbangkan kerajaan negeri pada 1978.
Suasana serupa juga dilihat boleh berlaku pada PRU14 apabila serpihan PAS, PAN beriya-iya mahu bertanding di Kelantan.
Beliau berkata, kemunculan PAN terutama di kawasan marginal PAS sedikit sebanyak boleh menjejaskan usaha bagi mempertahankan kerusi tersebut.
Sehubungan itu, Mohd Amar mengajak jentera PAS di semua peringkat melipatgandakan usaha bagi mempertahankan kerajaan negeri yang ada sekarang.
PAN sebuah parti serpihan ditubuh bekas pemimpin PAS yang gagal mempertahankan jawatan pada muktamar parti itu di Kuala Selangor pada 2015.