Anugerah Puskas: Mohd Faiz masih ‘ketaq’
GEORGETOWN, 9 Rabiulakhir 1438H, Ahad – Kurang 48 jam sebelum pemenang Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) 2016 diumumkan, perasaan gementar masih menyelubungi pemain Pulau Pinang, Mohd Faiz Subri.
“Saya ‘ketaq’ (gementar). Tapi kalau ada rezeki, adalah… saya akan bawa pulang trofi untuk Pulau Pinang dan Malaysia,” katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, dekat sini, semalam.
Bagaimanapun apa juga keputusan yang diperolehi nanti akan diterima dengan hati terbuka, katanya.
Pemain itu turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, terutama penyokong bola sepak yang memberi sokongan tidak berbelah-bahagi selama ini.
Mohd Faiz, 29, berlepas ke Kuala Lumpur malam tadi sebelum berangkat ke Zurich, Switzerland pagi ini, bagi menghadiri majlis berkenaan pada 9 Januari ini.
Beliau ditemani isteri Norzawanis Hashim, 29, dan dua anak, Akif Fayyadh, 4, dan Muhammad Aqil Zayyan yang berusia lapan bulan.
Selain itu, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) Mohd Azizudin Mohd Sharif dan Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah turut mengiringi beliau ke Zurich.
Mohd Faiz mencipta sejarah bergelar pemain bola sepak pertama dari Malaysia dan Asia yang tercalon bagi anugerah tahunan gol tercantik dunia itu, sekali gus mengharumkan nama negara.
Dua lagi calon bagi anugerah itu ialah Jonath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain wanita, Danisuka Rodriguez dari Venezuela. – Bernama