Berita UtamaUtama

Masalah Felda bukan kerana peneroka, kejatuhan harga minyak sawit tetapi…

Felda dibeban dengan pelbagai rancangan dan skim yang tidak ada kaitan dengan perladangan, kononnya atas alasan transformasi dan mempelbagaikan kegiatan. FGV yang menjadi kebanggaan Felda suatu ketika dahulu kini berdepan masalah apabila nilai sahamnya terus merudum

BANGI, 9 Rabiulakhir 1438H, Ahad – Bekas Ketua Pengarang Kumpulan Akhbar News Strait Times, Datuk A Kadir Jasin berpendapat, masalah yang dihadapi Felda sekarang ini bukan lagi kerana kejatuhan harga minyak kelapa sawit, getah atau disebabkan sikap peneroka.

Sebaliknya, beliau berkata, apa yang menjadi masalah ialah Felda dibebankan dengan pelbagai rancangan dan skim yang tidak ada kaitan dengan perladangan, kononnya atas alasan transformasi dan mempelbagaikan kegiatan.

Oleh itu, katanya, banyak sumber kewangan dan kepakaran Felda dialihkan daripada perladangan kepada sektor-sektor bukan ladang, dengan menggadai atau memajak asetnya untuk mencari modal.

“Felda memasuki bidang-bidang yang bukan kepakarannya di dalam dan luar negara seperti hartanah, perhotelan dan pengilangan bijirin. Penglibatannya dalam industri pemprosesan bijirin minyak di Amerika Syarikat dan Kanada telah menyebabkan kerugian besar dan terpaksa dijual.

“Felda mendakwa membuat keuntungan daripada penjualan itu tetapi ada pihak mengatakan ia tidak mengambil kira kerugian dan modal yang terpaksa dilupuskan.

“Pengilang di negara maju seperti Amerika Syarikat dan Kanada tidak akan menjual kilang jika perniagaan mereka menguntungkan apatah lagi menjualkannya kepada orang asing. Mereka menjual kerana industri pengisaran bijirin minyak semakin sukar dan tidak menguntungkan. Inilah kilang yang dibeli oleh Felda dan FGV.

“Sudah menjadi pengetahuan umum bahawa banyak syarikat besar dan berpengalaman seperti Kumpulan Kuok dan pengilang-pengilang di China mengalami kerugian besar dalam industri pengisaran bijirin minyak,” katanya menulis dalam Sinar Harian, hari ini.

A Kadir berkata, pada 2014, Felda beli pula sebuah hotel empat bintang di London pada harga, yang diketahui satu dunia, lebih mahal daripada harga pasaran, sehingga penggiat pasaran hartanah di London mengkritik pembelian itu sebagai merosakkan pasaran.

Hal yang sama juga kata wartawan veteran itu, dapat dilihat dalam proses mengapungkan aset peneroka melalui tawaran awam permulaan (IPO) FGV pada 2012, di mana harga yang tinggi dikenakan iaitu RM4.55 tatkala harga kelapa sawit dan getah mula jatuh.

“Ini menyebabkan banyak pihak percaya bahawa dorongan di sebalik diversifikasi dan pembelian harta di luar negara bukanlah kebajikan peneroka Felda, keuntungan jangka panjang dan kelestarian perniagaan tetapi cara bagi membolehkan pihak-pihak tertentu membuat keuntungan segera dalam bentuk komisen, yuran perundingan dan keuntungan modal (capital gain).

“Adalah perkara biasa dalam urusan menggabung dan mengambil alih syarikat (M&A), pembelian aset dan pinjaman bersindiket (syndicated loans) komisen dan yuran perundingan yang lumayan akan dibayar.

“Satu contoh yang diketahui umum adalah bagaimana Abdul Razak Baginda, bekas penyelidik kepada Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Abdul Razak, dibayar 30 juta Euro (kira-kira RM141 juta pada kadar tukaran sekarang) sebagai orang tengah dalam pembelian kapal selam Scorpene daripada Perancis,” katanya.

A Kadir berkata, kebimbangan yang semakin mendalam mengenai masa depan Felda dan nasib peneroka adalah berasas, walaupun dalam jangka masa singkat kelemahan kewangan Felda boleh ditutup melalui operasi ‘corporate manoeuvre’, penjualan aset atau meminjam daripada kerajaan.

“Kegagalan sistemik (systemic failure) akan berlaku juga jika urus niaga Felda terus tidak lestari. Buat permulaan, aset terbesar Felda iaitu FGV sudah pun mula mencatatkan kerugian – sebanyak RM94.8 juta bagi sembilan bulan pertama tahun 2016,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker