30 laman sosial jual ubat, produk kecantikan tanpa kelulusan KKM
ALOR SETAR, 10 Rabiulakhir 1438H, Isnin – Sekurang-kurangnya 30 laman sosial milik syarikat dan individu di Kedah dikesan menjual produk kecantikan dan ubat-ubatan tanpa kelulusan Kementerian Kesihatan.
Perkara itu disahkan Ketua Cawangan Penguatkuasa Bahagian Perkhidmatan Farmasi Jabatan Kesihatan Kedah, Mokhtar Abdullah dengan menegaskan kesemua laman sosial berkenaan dalam pemantauan.
Katanya, tiga daripada 30 laman sosial itu sudah dikenakan tindakan tahun lalu.
Jelas beliau, setiap produk kosmetik perlu mempunyai notifikasi dari Kementerian Kesihatan, selain kelulusan untuk penjualan ubat-ubatan kerana dikhuatiri mengandungi bahan terlarang.
Mokhtar berkata, ada pihak turut menggunakan kandungan raksa berlebihan dalam penghasilan produk pencerahan kulit untuk mendapatkan kesan pantas.
“Jika didapati ada yang melakukan kesalahan, kita akan ambil tindakan menggunakan saluran undang-undang.
“Kebanyakan barangan dijual di Facebook dipercayai diseludup dari negara jiran dengan kuantiti sedikit sebelum dibungkus semula dan dijual kepada pengguna tanpa meletakkan label dan kandungan yang digunakan untuk penghasilan produk itu,” katanya.