Arab Saudi keluar peraturan baharu elak jemaah haji, umrah ditipu
MAKKAH, 10 Rabiulakhir 1438H, Isnin – Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengeluarkan peraturan baharu bagi melindungi hak jemaah haji dan umrah.
Peraturan itu meliputi tindakan tegas terhadap syarikat penyedia perkhidmatan haji dan umrah yang gagal memberi perkhidmatan seperti ditetapkan.
Menerusi kenyataan kementerian itu, hukuman denda, digantung daripada tugas selama satu musim atau lebih atau lesen ditarik balik akan dikenakan terhadap syarikat yang terlibat.
Menurut kementerian itu lagi, peraturan baharu ini adalah untuk memastikan hak jemaah haji dan umrah dijaga melalui kontrak perkhidmatan yang dipersetujui seperti penginapan, makanan dan pengangkutan.
Justeru, jika ada aduan jemaah, ianya akan dirujukkan kepada jawatankuasa khas bagi menentukan hukuman terhadap pihak yang melanggar peraturan ditetapkan.
Kementerian itu berkata lagi, jemaah umrah layak mendapat keselesaan dan perlindungan keselamatan ketika menunaikan ibadah, selain kemudahan pengangkutan, penghantaran bagasi mengikut jadual dan bantuan pengesahan tiket penerbangan.
Bagi jemaah haji pula, selain berhak ke atas perlindungan keselamatan dan keselesaan ketika menunaikan ibadah, mereka juga berhak terhadap penguatkuasaan penuh kontrak yang dipersetujui dengan syarikat penyedia perkhidmatan. -Agensi