Banjir: Hanya lima sekolah di Kelantan, dua di Terengganu ditutup
KOTA BHARU, 10 Rabiulakhir 1438H, Isnin – Hanya lima sekolah di Kelantan dan dua di Terengganu ditutup pada hari ini berikutan keadaan banjir belum pulih di kawasan berkenaan.
Di Kelantan, sekolah yang ditutup ialah tiga di Tumpat dan dua di Pasir Mas.
Sekolah di Tumpat ialah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Nurul Huda Kajang Sebidang, Sekolah Kebangsaan (SK) Simpangan dan SK Bendang Pa’ Yong manakala di Pasir Mas ialah SABK Al Falah Siram dan SK Bakong.
Penutupan sekolah berkenaan disebabkan sama ada laluan ke sekolah masih ditenggelami air banjir dan berbahaya kepada murid serta guru, sekolah masih dinaiki air dan sekolah dijadikan pusat pemindahan mangsa banjir.
Di Terengganu pula hanya dua sekolah rendah ditutup hari ini ekoran dijadikan pusat pemindahan sementara mangsa banjir.
Sekolah yang terlibat ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Guntong dan SK Kampung Gemuroh, kedua-duanya di Kuala Nerus.