Berita UtamaUtama

Bekas menteri bidas kenyataan Nazri kata Tun M gila

Sumber foto: Reuters

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 10 Rabiulakhir 1438H, Isnin – Malaysia boleh menjadi negara China tanpa perlu orang Cina membawa balik tanah negara ini ke negara China, kata bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainudin Maidin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan ‘gila’ yang dilontarkan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz buat Tun Dr Mahathir Mohamad apabila bekas perdana menteri itu mendakwa tanah yang dijual kepada orang asing akhirnya akan menjadikan Malaysia negara asing.

Ini kerana, menurut Nazri yang merupakan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu, tanah negara ini tidak boleh dibawa balik ke negara asal mereka.

“Dia gila. Kita jual tanah kepada kedutaan untuk buat bangunan kedutaan. Syarikat luar untuk membina projek mereka, ini bukan satu kesalahan.

“Saya nak tanya Dr Mahathir kalau kita jual tanah sebanyak satu ekar kepada orang luar, lepas tu kita potong-potong tanah itu dan bawa ke China.

“Di Johor, kalau seekar kita potong-potong kemudian kita boleh ke hantar kepada negara China?,” soal Nazri.

Menyelar kenyataan itu, Zainuddin mempersoalkan, siapakah sebenarnya yang ‘gila’.

“Pendatang dari China mulanya hanya membeli beberapa buah kedai di bandar-bandar di Malaya dan tidak membawa kedainya balik ke China tetapi akhirnya menjadikan semua bandar-bandar di Malaya dan Malaysia sebagai pekan China.

“Kerajaan British dan seterusnya, kerajaan Malaya dan Malaysia mengekalkan tanah simpanan Melayu supaya orang Melayu tidak boleh menjual tanah dengan sewenang-wenang kepada orang asing dan bagi mengekalkan pemilikan Melayu dan penempatan Melayu,” kata Zainuddin atau lebih mesra dengan panggilan Zam di blognya.

Beliau berkata, sekiranya sikap liberalisme Nazri wujud sejak lepas merdeka di era Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak Haji Hussein, barangkali sudah tidak ada kampung Melayu hari ini seperti tidak adanya lagi penguasaaan Melayu ke atas Felda kecuali hanya di atas kertas.

Mengimbas kembali sejarah, beliau berkata, oleh kerana adanya kesedaran nasionalisme yang tinggi di bawah kepimpinan Tun Razak yang mahukan orang Melayu berada di bandar-bandar untuk membolehkan orang Melayu menyaingi orang China, maka Tun Razak telah menginisiatifkan penubuhan Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) untuk membina kedai- kedai atau tapak perniagaan bagi orang Melayu.

Manakala Tun Mahathir pula menerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) telah berjaya merampas semula seluas lebih 200,000 ekar tanah getah dan kelapa sawit yang dimiliki oleh British (Guthrie) menerusi serangan waktu subuh di London Stock Exhchange pada 7 September 1981.

“Maka itu, sudah lah sampainya bagi memenuhi nafsu liberalisme dan globalisme Najib dan Nazri, kita hapuskan Tanah Simpanan Melayu kerana tanah-tanah itu menurut peguam UMNO yang tidak gila atau pun tidak tiga suku, Nazri Aziz tidak akan boleh dibawa balik ke negara China,” sindirnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker