Berita UtamaUtama

Guru comel: Media perlu utamakan teknik mengajar, bukan rupa paras

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 10 Rabiulakhir 1438H, Isnin – Paparan media mengenai ‘guru comel’ yang menjadi daya tarikan murid untuk ke sekolah adalah satu sisi pandang negatif, kata pesara guru, Azizah Che Awang.

Beliau berkata, media sepatutnya meletakkan kepentingan menjadi seseorang guru adalah dari segi teknik mengajar dan mendidik untuk memastikan murid mendapat ilmu yang berkesan serta bermakna, dan bukan rupa paras semata-mata.

Cikgu Azizah berkata, menjadi cantik dan lawa secara semulajadi juga adalah bonus dan anugerah daripada Allah dan lazimnya fitrah manusia akan tertarik dengan kecantikan.

“Persoalannya, jikalau seseorang guru itu comel dan lawa melalui kosmetik, tentu sekali fokus dan kreativiti guru terutama dalam proses pengajaran pembelajaran abad ke-21 akan terganggu.

“Guru juga memerlukan kos yang tinggi untuk sentiasa kelihatan muda, comel dan lawa. Duit gaji akan habis tanpa disedari dan mula dilanda stres.

“Akhirnya, guru ke sekolah seperti ke pentas peragaan; saling bersaing siapa paling lawa, baju siapa paling mahal, bukan untuk mencurah ilmu, mengajar dan mendidik anak bangsa seperti yang telah diikrarkan dalam ‘Aku Janji’ masing-masing,” katanya kepada Ismaweb.

Beliau berkata, Kementerian Pendidikan Malaysia telah memperkenalkan sekian lama ‘konsep guru penyayang’ dan ianya sepatutnya diketengahkan secara kreatif agar menjadi tarikan utama ke sekolah.

“Seorang guru sepatutnya menghayati 13 item Standard Guru Malaysia (SGM) yang digariskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ke arah guru unggul, antaranya, sentiasa mengamalkan nilai serta tatasusila profesionalisme keguruan bagi menjamin kemenjadian murid secara holistik seperti dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).

“Oleh itu, sebaiknya, belajarlah untuk memaknai hal-hal kesederhanaan termasuk urusan penampilan dan sentiasa memperbaharui niat dalam kerjaya yang mulia ini,” tegasnya.

Sebelum ini media melaporkan berita guru-guru comel yang dikatakan menjadi daya penarik untuk anak-anak suka hadir ke sekolah.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Satu komen

  1. amboi2 guru comel dan kacak pn salah.Konon menganggu kredibiliti sbg pendidik…xpyh la dok dengki ngan org yg lawa2 n kck klu diri sndri x lawa or kcak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker