Hasrat Faiz Subri pakai Baju Melayu terkubur
ZURICH, 10 Rabiulakhir 1438H, Isnin – Hasrat finalis Anugerah Puskas 2016, Mohd Faiz Subri untuk memakai baju Melayu pada majlis Anugerah Bolasepak FIFA 2016 di Zurich, Switzerland terpaksa dikuburkan atas faktor cuaca.
Faiz berkata, beliau akan memakai pakaian formal baju sut yang lebih selesa dengan cuaca sejuk sekitar -5 selsius.
“Keadaan di sini memang sejuk, memang saya akan pakai baju kot. Bukan pakai baju Melayu tak kena (sesuai) tapi terlalu sejuk.
“Tak apa kalau saya tak dapat pakai baju Melayu di sini, InshaAllah kalau menang saya akan pakai di Malaysia nanti,” katanya yang dipetik daripada Harian Metro, hari ini.
Sebelum ini, penganjur Persatuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sudah memberi kebenaran kepada Faiz untuk memakai baju tradisional pada majlis itu selepas mendapat permohonan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Faiz pada awalnya berhasrat untuk memakai set persalinan lengkap baju Melayu tradisional yang ditaja oleh beberapa pihak pada majlis anugerah bola sepak berprestij itu di mana bakal ditonton oleh peminat bola sepak seluruh dunia.