KATA PEDANG: Bila SPRM nak tangkap bapa jerung?
PADA 13 Mac 2014, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Senator Datuk Paul Low Seng Kuan telah menyenaraikan 30 individu berprofil tinggi yang telah dituduh mengamalkan rasuah sebagai jawapan kepada soalan di sidang Parlimen.
Menurut Datuk Paul, kes rasuah 30 individu yang Pedang sifatkan sebagai ‘jerung’ ini, telah melibatkan kepentingan awam dan amaun yang besar.
30 individu ini semuanya berjawatan besar termasuklah menteri besar, ketua makmal di sebuah hospital tentera, ketua pegawai eksekutif syarikat besar, pegawai kanan syarikat GLC, pensyarah kanan universiti, pengarah jabatan dan macam-macam lagi jawatan penting.
Terkini kita dikejutkan dengan berita penahanan dua ekor jerung; Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), Datuk Mohd Arif Ab Rahman dan bekas pengarah urusan dan ketua pegawai Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Datuk Abdul Rahim Hassan.
Bukan sedikit harta yang dirampas. Jongkong emas, wang tunai, beg tangan mewah, jam tangan berjenama dan mata wang asing.
Ini memang bukan calang-calang jerung. Jerung ini jenis nafsu tidak pernah puas melainkan apabila tanah telah disumbat ke dalam mulut.
Meskipun baru di peringkat pertuduhan, kita percaya bukti-bukti yang dikumpul oleh penyiasat SPRM akan diterima di mahkamah seterusnya pesalah akan dijatuhkan hukuman setimpal.
Timbul persoalan, bilakah pula SPRM akan menangkap bapa jerung? Tak perlulah Pedang sebut siapakah yang dimaksudkan.
Bagi Pedang, persoalan ini wajar ditimbulkan kerana ia berkaitan dengan punca utama bekas pengarah Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Datuk Bahri Mohamad Zin yang melepaskan jawatannya minggu lepas.
Terdapat kerisauan bahawa SPRM terpaksa tunduk dan akur kepada kuasa politik sedangkan tidak sepatutnya begitu.
Kita tak mahu dialog ini benar-benar berlaku: “Penat-penat buat siasatan, kumpul bukti, akhirnya si jerung tak didakwa…”
SPRM bebas bertindak mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009 dan tiada mana-mana ahli politik boleh memberi arahan tertentu kepada SPRM.
Memaksa SPRM berada di bawah telunjuk politik akhirnya akan merosakkan sistem negara kita dan pada masa sama kita kehilangan pegawai-pegawai berintegriti dalam tugas.
Kerana tidak mahu bertanggungjawab di akhirat nanti kerana bersekongkol dengan kuasa politik, mereka terpaksa melepaskan jawatan.
Kata Pedang: Kita tunggu dan lihat episod berikutnya. Tapi kalau ikut cakap Tun Dr Mahathir, tiada apa-apa akan terjadi kerana semuanya kini boleh dibeli dengan ‘cash’ oleh si bapa jerung.
Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan yang diberikan dalam ruang Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.
Lagi Kata Pedang:
http://www.ismaweb.net/2016/12/kata-pedang-jangan-tunggu-jamal-serbu-pusat-judi-maksiat-lagi-sekali/