KKM perkenal SOP khidmat khatan
BALIK PULAU, 10 Rabiulakhir 1438H, Isnin – Kementerian Kesihatan akan menetapkan satu prosedur operasi standard (SOP) untuk klinik kerajaan dan swasta yang menyediakan perkhidmatan berkhatan bagi mengelak kejadian tidak diingini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, pihaknya juga akan mengawal selia peralatan yang digunakan klinik terbabit bagi memastikan ia tidak memberi kesan sampingan.
“Khatan yang dibuat di klinik swasta ada yang menggunakan elektrik untuk potong kulit tu. Kalau tersilap potong, boleh terpotong dengan kemaluan sekali. Bila datang ke hospital, (kemaluan) dah jadi hangus dan hitam. Memang tak boleh buat apa.
“Ambil masa untuk ‘reconstruct’ balik, nak buat semula…perlu dua, tiga pembedahan. Jadi, tak boleh nak salahkan kerajaan sebab proses khatan tu dibuat di klinik swasta,” katanya ketika diminta mengulas kejadian kemaluan seorang kanak-kanak lelaki terpotong semasa berkhatan baru-baru ini.
Menurutnya, keluarga mangsa insiden berkhatan itu boleh mengambil tindakan saman terhadap doktor terbabit kerana kecuaian. — Bernama