Berita UtamaUtama

Pembodek orang tertentu saja halalkan wang curi: Tun M

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 10 Rabiulakhir 1438H, Isnin – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, hanya mereka yang bertujuan membodek orang tertentu sahaja yang akan menghalalkan wang yang dicuri oleh Kerajaan.

Dr Mahathir berkata demikian selepas kenyataannya yang mendakwa ibadah haji yang dilaksanakan di bawah Program Khas Haji Perdana Menteri-Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak mendapat haji yang mabrur dikecam oleh beberapa mufti dan ahli agama.

Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata, kata-kata Mahathir itu dilihat seperti ingin mengambil kuasa Allah.

Membidas respon Dr Harussani itu pula, Dr Mahathir berkata, jika menyatakan wang dicuri tidak boleh biayai ibadat haji adalah percubaan menjadi Tuhan, kenyataan itu menunjuk kekerdilan akal fikiran.

“Pangkat tidak boleh membetulkan pendapat yang salah. Pencuri berpangkat masih pencuri.

“Duit yang dicuri masih duit haram. Ia tidak boleh dihalalkan dengan menggunanya untuk ibadat. Makanan yang haram tidak akan menjadi halal kerana dihidang selepas baca doa selamat, atau bertahlil.

“Walaupun kita Bismillah, daging yang haram masih haram dimakan. Perbuatan yang dilarang, yang diharamkan tidak jadi halal kerana kita mula dengan menyebut nama Allah, Yang Maha Pengasih, lagi Yang Maha Penyayang.

“Kalau kita curi duit untuk membuat kerja haji, sesuatu ibadat yang kita wajib buat hanya jika kita mampu, atau untuk buat sunat umrah, apakah perlakuan kita itu ibadat atau tidak. Atau apakah ibadat kita boleh diterima jika kita terima duit yang dicuri orang lain? Tidakkah dakwaan kita mendorong pencurian kerana yang dicuri boleh dihalalkan dengan mengguna sebahagian atau semuanya untuk ibadat, termasuk ibadat haji,” katanya.

Beliau juga tidak akan menarik balik kata-katanya dan memberitahu bahawa beliau tidak akan menerima walau apa jua tohmahan yang dilemparkan kepadanya.

“Kalau nak terima duit curi untuk buat kerja haji, terimalah,” sindirnya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker