Annuar dakwa penjualan hartanah Mara Inc di Australia tak merugikan
KUALA LUMPUR, 11 Rabiulawal 1438H, Selasa – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Tan Sri Annuar Musa mendakwa langkah Mara Incorporated Sdn Bhd (Mara Inc) menjual hartanahnya di 51 Queen Street di Melbourne, Australia tidak melibatkan sebarang kerugian kepada anak syarikat itu.
Beliau sebaliknya mendakwa , Mara Inc memperoleh keuntungan dari segi pertukaran mata wang asing, selain harga jualan yang lebih tinggi.
“Langkah penjualan ini adalah sejajar dengan strategi pelaburan jangka panjang Mara Inc, termasuk lokasi hartanah lain di Melbourne dan London.
“Kewangan Mara Inc kini kukuh dan tidak memerlukan suntikan daripada Mara,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Hartanah di Queen Street itu merupakan satu daripada empat hartanah yang dimiliki Mara Inc di Australia, merangkumi 12 tingkat ruang pejabat serta ruang niaga moden di tingkat bawah.
Beliau berkata, hartanah yang diperoleh sejak 2014 itu, dijual melebihi harga belian iaitu A$21 juta, dan digunakan untuk melupuskan hutang Mara Inc dengan dua buah bank di Australia.
Jelas beliau, pinjaman daripada dua bank itu bersifat jangka pendek dan memberi tekanan kepada Mara Inc untuk melangsaikan hutang dalam tempoh yang ditetapkan.
Katanya, penjualan hartanah itu merupakan sebahagian daripada pelan rasionalisasi yang dilaksanakan Mara Inc setelah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
“Kelulusan tersebut diberikan atas dua syarat iaitu aset tersebut dilupuskan pada harga yang menguntungkan dan keuntungan daripada jualan mesti melangsaikan semua hutang dengan dua bank di Australia,” katanya.