Isteri didera, diancam suami harus tinggalkan rumah
KANGAR, 11 Rabiulakhir 1438H, Selasa – Perlis mengeluarkan fatwa yang mengharuskan seseorang isteri untuk meninggalkan rumah yang didiami bersama suami disebabkan ancaman dan penderaan atau keganasan domestik.
Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, perkara itu diputuskan pada Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke-24 dan 25/2016 pada Disember lalu dan diluluskan oleh Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs), kelmarin.
“Pada asalnya, Islam tidak membenarkan isteri keluar dari rumah melainkan mendapat kebenaran suami.
“Namun, jika isteri pada tanggapan yang kuat merasakan agama, diri, kehormatan, keluarga atau pun hartanya berada dalam keadaan bahaya yang diiktiraf syarak, maka isteri diharuskan keluar sekalipun tanpa keizinan suami,” katanya di sini, hari ini.
Beliau berkata, lazimnya, terdapat isteri yang begitu taat sehingga apabila dia dipukul dan anaknya diseksa suaminya, dia tetap tidak melarikan diri kerana takut dianggap nusyuz.
Asri berkata, seringkali isteri yang diancam suami menerima pandangan beberapa pihak yang mengatakan apa sahaja yang berlaku wanita sebagai isteri perlu taat.
“Isteri diharuskan keluar tanpa izin selepas mendapati tiada penyelesaian serta suami gagal menunaikan tanggungjawab menyediakan tempat tinggal yang selamat dan atau nafkah yang mencukupi.
“Ia tidak dikira nusyuz sehingga suami dapat menunaikan tanggungjawabnya,” katanya.