Berita UtamaUtama

Mufti Wilayah ucap tahniah, pesan Faiz Subri ingat asal usul

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 11 Rabiulakhir 1438H, Selasa – Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri mengucapkan sekalung tahniah buat pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016, Mohd Faiz Subri yang diraikan di Zurich, Switzerland, malam tadi.

Dalam ucapan tahniahnya, Dr Zulkifli turut mengingatkan pemain berumur 29 tahun itu untuk tidak melupakan asal usul permulaan kejayaannya meskipun telah mencapai kejayaan yang amat membanggakan.

Pada masa yang sama, Dr Zulkfili turut berharap agar kemenangan Faiz yang juga pemain bola sepak Pulau Pinang ini akan menjadi sumber inspirasi kepada belia di luar sana untuk bersukan serta bergiat aktif dalam arena itu.

“Sejujurnya, kami mengikuti perkembangan FIFA Puskas Award dan amat ternanti-nantikan keputusannya. Melihat kejayaan saudara Faiz Subri ini, kami amat gembira dan bersyukur kepada Allah swt.

“Semoga kemenangan ini akan terus meninginspirasikan anak-anak muda di luar sana yang bergiat aktif dalam bola sepak. Syabas kami ucapkan dan teruskan mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.

“Setinggi mana kita dijulang, jangan lupa di mana kita bermula,” katanya dalam laman Facebook Mufti Wilayah Persekutuan, hari ini.

Pemain Liga Super itu berjaya mengalahkan dua lagi finalis, Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil dan pemain wanita Venezuela, Daniuska Rodriguez untuk meraih anugerah yang julung kali dimenangi pemain Portugal, Cristiano Ronaldo pada 2009.

Mohd Faiz meraih 59.46 peratus undian, manakala Marlone (22.86 peratus) dan Rodriguez (10.01 peratus).

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker