Berita UtamaUtama

Mahkamah benar Azmin, Zahid cabar klasifikasi rahsia rasmi laporan audit 1MDB

KUALA LUMPUR, 12 Rabiulakhir 1438H, Rabu – Mahkamah Tinggi di sini membenarkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali dan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Muhammad Zahid Md Arif, mencabar tindakan Ketua Audit Negara yang mengklasifikasikan laporan audit 1MDB sebagai rahsia rasmi.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hanipa Farikullah membenarkannya selepas mendapati permohonan itu mempunyai merit untuk didengar. Beliau juga menolak bantahan awal yang dikemukakan responden.

Azmin dan Zahid mencabar keputusan Ketua Audit Negara yang mengklasifikasikan Laporan Ketua Audit Negara terhadap 1MDB sebagai rahsia rasmi.

Pada 5 Ogos tahun lalu, Muhammad Zahid memfailkan permohonan semakan kehakiman memohon perintah membatalkan keputusan responden yang memutuskan untuk tidak mengubah status laporan itu walaupun selepas Laporan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB dibentangkan di Parlimen pada 7 April lalu.

Pada 15 Ogos pula, Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak, memfailkan permohonan berkenaan dan menamakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak; Ketua Audit Negara, Tan Sri Amrin Buang serta kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga ketiga.

Dalam permohonannya, Azmin menuntut suatu deklarasi bahawa tindakan responden pertama iaitu Perdana Menteri yang mengklasifikasikan laporan 1MDB sebagai rahsia rasmi adalah suatu tindakan dalam konflik kepentingan.

Beliau juga menuntut suatu deklarasi bahawa klasifikasi laporan 1MDB sebagai rahsia rasmi oleh responden kedua (Amrin) adalah menyalahi undang-undang dan ultra vires Perlembagaan Persekutuan, Akta Rahsia Rasmi (OSA) dan/atau Akta Audit 1957.

Selain itu, beliau juga menuntut suatu perintah mandamus bagi memaksa semua responden, pekerja-pekerja, pegawai-pegawai, ejen-ejen atau dengan apa jua cara dengan serta-merta untuk mengklasifikasikan semula Laporan 1MDB menurut Seksyen 2C OSA 1972 dan menyiarkannya kepada orang ramai.

Mohamed Azmin mengemukakan tuntutan berkenaan dengan alasan bahawa keputusan untuk mengklasifikasikan laporan 1MDB sebagai rahsia rasmi adalah tidak berperlembagaan kerana melanggar Perkara 107 Perlembagaan Persekutuan.

Dalam permohonan itu, Azmin menuntut Laporan Audit Negara berhubung 1MDB yang diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi menurut Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972 diklasifikasikan semula sebagai dokumen awam.

Beliau juga memberi alasan bahawa Ambrin tidak mempunyai kuasa untuk mengklasifikasikan laporan itu sebagai rahsia rasmi, kerana kuasa untuk berbuat demikian menurut Seksyen 2B Akta Rahsia Rasmi hanya terserah kepada pegawai awam.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Satu komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker