Berita UtamaDuniaUtama

Pelarian Rohingya di Bangladesh rayu tidak mahu pulang

DHAKA, 12 Rabiulakhir 1438H, Rabu – Pelarian Rohingya di Bangladesh merayu untuk tidak dihantar pulang selepas pihak berkuasa di Dhaka mendesak Yangon mengambil semula etnik Islam itu.

Pemimpin masya­ra­kat Rohingya di Bangladesh, Ko Ko Linn berkata, pelarian yang mencecah 65,000 orang itu kini merayu supaya mereka diterima dan dibenarkan untuk menetap di negara itu.

Linn berkata, ia mungkin disebabkan keadaan di Myanmar yang sudah tidak boleh didiami terutama sejak kebelakangan ini sehingga pelarian tidak mahu kembali ke Myanmar yang anti-Rohingya.

“Kerajaan Myanmar dan masyarakat Buddha yang merupakan majoriti penduduk negara itu bertindak ganas ke atas etnik Rohingya dengan menjadikan Myanmar ibarat neraka buat kami,” katanya.

Dilaporkan ketika ini, sebuah penempatan baharu yang menempatkan pelarian Rohing­ya yang memasuki Bangladesh tanpa kebenaran telah dibuka di sebuah kawasan milik Jabatan Perhutanan berhampiran Kampung Ba­lukhali dekat Cox’s Bazar.

Terdapat tiga kawasan setinggan Rohingya yang bersempadan dengan kawasan Ukhia dan Teknaf yang dikenali sebagai ‘Ro­hingya Tal’.

Difahamkan, ratusan penduduk Rohingya dirakam sedang membina rumah setinggan di tanah kerajaan seluas 101 hektar.

Kira-kira 500 buah rumah setinggan dibina dan terdapat 5,000 pelarian yang menetap dan mencari perlin­dungan di penempatan berkenaan. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker