Turki draf Perlembagaan perluas kuasa Presiden, mansuh jawatan Perdana Menteri
ISTANBUL, 12 Rabiulakhir 1438H, Rabu – Parlimen Turki semalam memulakan perbahasan berhubung draf Perlembagaan memperluas kuasa Presiden di bawah pemerintahan Recep Tayyip Erdogan.
Draf Perlembagaaan itu dijangka memansuhkan jawatan Perdana Menteri bagi memberi laluan kepada satu jawatan baharu yang bakal diwujudkan iaitu Naib Presiden.
“Tiada lagi jawatan Perdana Menteri. Kami tidak tergila-gilakan kuasa.
“Sepatutnya seorang sahaja mengemudi kapal dan bukannya dua orang,” kata Perdana Menteri, Binali Yildrim ketika berucap di Parlimen sambil disambut tepukan gemuruh oleh Ahli Parlimen Parti Keadilan dan Pembangunan (AKP).
Perlembagaan baharu itu akan dibentangkan dalam referendum pada Mac atau April depan.
Perlembagaan baharu itu juga kelak akan menggantikan undang-undang sedia ada yang dilaksanakan selepas rampasan kuasa oleh pihak tentera pada 1980.
Selain itu, draf tersebut tersebut akan memperbaharui sistem Presiden buat kali pertama selepas zaman pemerintahan Kerajaan Uthmaniyyah.
Erdogan menegaskan sistem Presiden baharu itu akan membawa Turki sebaris dengan negara-negara lain.
Katanya, tindakan ini bakal melicinkan urusan pentadbiran kerajaan misalnya seperti Perancis dan Amerika Syarikat. -Agensi