Berita UtamaUtama

Viral Unggah dilantik pemangku KM Sarawak tak benar

KUCHING, 12 Rabiulakhir 1438H, Rabu – Penyebaran maklumat menerusi aplikasi WhatsApp bahawa Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dilantik sebagai Pemangku Ketua Menteri Sarawak adalah tidak benar.

Jurucakap Jabatan Ketua Menteri berkata, berdasarkan pemeriksaan beliau dengan Astana Negeri, maklumat itu didapati tidak benar.

“Maklumat itu tidak benar. Saya sudah periksa dengan pegawai Astana Negeri,” katanya.

Maklumat itu menjadi viral menerusi aplikasi WhatsApp berikutan kematian Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, 72, di Pusat Jantung Kota Samarahan, di sini pada 1.20 tengah hari tadi akibat komplikasi jantung.

Sementara itu, Pejabat Yang Dipertua Negeri Sarawak dalam satu kenyataan petang ini turut menafikan maklumat mengenai pelantikan itu serta pergerakan upacara pengebumian Adenan, esok.

“Pejabat Yang Dipertua Negeri Sarawak (Astana Negeri) pada Rabu menafikan bahawa ada melantik mana-mana kakitangan mewakili Pejabat Astana Negeri untuk membuat kenyataan pemangkuan Ketua Menteri dan pergerakan majlis pengebumian Ketua Menteri Sarawak Adenan.

“Kenyataan yang dibuat di media sosial adalah daripada pihak yang tidak bertanggungjawab dan menggunakan nama pejabat tersebut untuk mendapat perhatian,” kata kenyataan itu.

Untuk pengetahuan awam, Pejabat Yang Dipertua Negeri tidak terlibat dalam Pentadbiran Kerajaan Negeri dan Politik Negeri Sarawak, kata kenyataan itu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker