Berita UtamaUtama

Waris peminjam PTPTN tak perlu bayar baki pinjaman

KUALA LUMPUR, 12 Rabulakhir 1438H, Rabu – Waris peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) tidak perlu membayar balik baki pinjaman peminjam .

Pengurus Besar Kanan, Jabatan Pemasaran dan Komunikasi Strategik PTPTN, Abdul Ghaffar Yusop berkata, ini kerana peminjam dilindungi Skim Perlindungan Takaful Berkelompok.

Katanya, apa yang perlu dilakukan ialah waris perlu memaklumkan sekiranya berlaku kematian atau keilatan kekal peminjam berkaitan kepada pihaknya bagi membolehkan PTPTN menguruskan tuntutan dan memberikan manfaat takaful serta khairat kematian kepada waris berkenaan sebagaimana yang ditetapkan.

Beliau berkata, selain tidak perlu membayar baki pinjaman, waris juga akan menerima RM1,500 sebagai faedah khairat kematian.

“Skim Pinjaman Pendidikan PTPTN dengan perlindungan takaful berkelompok adalah bertujuan melindungi peminjam.

“Sehingga 31 Disember 2016, seramai 6,682 peminjam dengan jumlah RM107.64 juta telah menikmati manfaat perlindungan takaful selain, tuntutan khairat kematian kepada 6,073 penuntut atau waris dengan jumlah RM7.52 juta,” katanya.

Abdul Ghaffar berkata, setiap peminjam dikehendaki menanggung kos perlindungan takaful sebagaimana termaktub dalam perjanjian pendidikan menerusi potongan secara aotomatik apabila mengeluarkan wang pinjaman.

Manakala bagi peminjam yang sudah menamatkan pengajian pula, jika potongan sumbangan takaful didapati tidak mencukupi, caj tambahan bulanan akan didebitkan ke dalam akaun peminjam sebagai pinjaman tambahan.

Waris atau penuntut boleh membuat tuntutan takaful dengan melengkapkan Borang Permohonan Tuntutan Takaful di laman portal rasmi PTPTN www.ptptn.gov.com.my.

Borang permohonan berserta dokumen sokongan yang diperlukan hendaklah dikemukakan kepada Pejabat PTPTN Negeri atau mana-mana cawangan yang berhampiran.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker