Armada lapor polis Annuar guna wang Mara taja The Red Warriors
KUALA LUMPUR, 13 Rabiulakhir 1438H, Khamis – Angkatan Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), membuat laporan polis terhadap Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa yang didakwa menyalahguna kuasa sebagaimana didedahkan Tunku Mahkota Johor (TMJ), hari ini.
Laporan polis itu dibuat di Balai Polis Shah Alam, hari ini.
TMJ hari ini dalam kenyataan di laman Facebook Johor Southern Tigers turut mendedahkan beberapa dokumen dan transaksi bank yang menunjukkan Mara memberi tajaan kepada pasukan bola sepak Kelantan (Kafa), yang mana Annuar adalah bekas Presiden Kafa.
Ketua Armada, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata pihaknya membuat laporan polis berkenaan kenyataan TMJ terhadap Annuar yang juga bekas Presiden Kafa yang dipercayai menyalahgunakan kuasa menggunakan dana yang sepatutnya diberi kepada pelajar Melayu, tetapi diperuntukkan untuk menyelamatkan kelab bola sepak.
Katanya, ada konflik kepentingan apabila Annuar menjadi Pengerusi Mara dan UniKL dan pada masa sama adalah Presiden Kafa.
“Wang yang sepatutnya digunakan untuk anak Melayu yang cerdik dan pandai, tetapi wang itu digunakan untuk selamatkan kelab bola sepak.
“Saya rasa ini adalah tindakan yang salah, mungkin salah dari segi undang-undang. Kalau nak selamat kelab bola sepak itu tidak salah. Tapi janganlah digadaikan pendidikan mahasiswa Melayu untuk menutup salah laku,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan itu.
Sehubungan itu, Syed Saddiq menyarankan orang Melayu dan rakyat Malaysia bangkit mempertahankan institusi pendidikan dan Mara bagi memastikan pendidikan, khususnya bagi anak Melayu terjaga.
Mengulas komen balas Annuar yang mengatakan beliau tidak perlu membalas hujah bodoh berhubung kenyataan TMJ, Syed Saddiq berkata, kata-kata Annuar itu adalah ‘kurang ajar’.
Beliau mencabar Annuar membuat laporan polis jika tuduhan itu tidak berasas.
“Jika apa yang dikemukakan Tunku Mahkota Johor tidak berasas maka senang saja untuk beliau membidas.. tapi kalau bidasan itu menggunakan perkataan bodoh tanpa mengemukakan apa-apa fakta ini terbukti benar apa yang ddakwa itu,” katanya.
BERITA BERKAITAN
http://www.ismaweb.net/2017/01/tmj-minta-annuar-jawab-wang-mara-unikl-diguna-taja-red-warriors/