Berita UtamaUtama

TMJ minta Annuar jawab wang Mara, UniKL diguna taja Red Warriors

TMJ dedah dokumen transaksi tajaan

BANGI, 13 Rabiulakhir 1438H, Khamis – Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, hari ini menggesa Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa menjelaskan mengenai wang Pelaburan Mara dan UniKL, yang dipaksa bagi menaja pasukan bola sepak Kelantan (The Red Warriors).

“Sewaktu ekonomi negara tidak begitu baik dan banyak pemotongan di sana sini, masih tergamak Tan Sri menggunakan duit rakyat untuk pasukan The Red Warriors yang mana Tan Sri sendiri merupakan Pengerusi Mara.

“Tidak cukup dengan Pelaburan Mara yang Tan Sri paksa, UniKL juga turut menjadi mangsa. UniKL terpaksa mengurangkan biasiswa pelajar-pelajar Malaysia dari RM2 billion kepada RM1.3 billion bagi tahun 2016 tetapi Tan Sri telah menggunakan kuasa untuk memaksa mereka menaja pasukan TRW pada tahun itu.

“Mohon Tan Sri jelaskan ke mana hala tuju pelaburan Mara dan UniKL tersebut yang merupakan wang rakyat,” kata TMJ sambil mendedahkan beberapa dokumen dan transaksi bank tajaan itu, dalam laman Johor Southern Tigers, hari ini.
.
TMJ berkata, beliau telah menjangka lebih awal kemenangan Mohd Faiz Subri menerima anugerah Puskas 2016, akan mendapat perhatian individu, terutama ahli politik, yang ingin melonjak semula reputasi mereka yang sedang merudum.

“Pertama, kepada Tan Sri yang sentiasa tidak berpuashati kepada saya dan seorang menteri yang kononnya turut ingin menumpang populariti dengan kejayaan Faiz Subri mengatakan saya angkuh dan sebagainya.

“Biar saya selesaikan mengenai Tan Sri terlebih dahulu. Selepas ini, saya akan suruh menteri yang pernah mabuk datang mengadap saya untuk menerangkan kepada rakyat Malaysia siapa wanita yang bekerja di sebuah syarikat di Johor. Ingat, jangan dikejutkan harimau yang sedang tidur. Saya tidak kacau orang, jadi jangan mengganggu saya.

“Baiklah, untuk Tan Sri terlebih dahulu. Sebelum menggunakan kejayaan Faiz Subri untuk populariti anda dengan mengatakan saya angkuh kenapa tidak Tan Sri juga tampil memberi keterangan mengenai duit tajaan daripada Pelaburan Mara dan UniKL yang dipaksa untuk menaja pasukan The Red Warriors,” kata TMJ.

TMJ turut berpesan kepada Annuar dan menteri berkaitan supaya jangan lupa membeli jersi baharu JDT 2017 yang akan dilancarkan malam ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker