Pengamal rasuah sama seperti perompak harta rakyat: Khutbah Jais
Oleh Siti Fatimah Ishak
BANGI, 14 Rabiulakhir 1438H, Jumaat – Khutbah Jumaat hari ini mengingatkan umat Islam bahawa rasuah merupakan budaya jahiliah yang menunjukkan betapa rendah dan hinanya akhlak pelaku jenayah itu.
Menurut teks khutbah yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), rasuah adalah penyakit masyarakat yang terlalu tamak akan harta dan mementingkan diri sendiri serta menzalimi orang lain.
“Sesungguhnya sumber daripada rasuah itu adalah kotor, dan haram dimakan, kerana setiap jasad yang tumbuh dari sumber yang haram, di akhirat kelak tempatnya adalah di dalam neraka.
“Pengamal rasuah adalah mereka yang bernafsu besar, atau bersifat tamak haloba, mengamalkan cara hidup mewah, ingin cepat kaya dan terikut-ikut dengan gaya rakan sekerja tanpa mengukur baju di badan sendiri,” kata kenyataan khutbah itu.
Khutbah berpendapat, banyak kesan buruk akibat daripada amalan rasuah yang berlaku sekiranya gejala ini tidak dibanteras.
“Mereka yang melakukan rasuah sama ada pemberi atau penerima atau bersubahat menjadi orang tengah, boleh dianggap sebagai perompak harta rakyat.
“Sebelum terjebak dalam perangkap rasuah, cubalah kita fikir bahawa mereka yang bergelumang dengan kemewahan melalui sumber yang haram tidak akan selamat hidupnya di dunia dan di akhirat, kerana Allah mengetahui amalan tersebut, dan orang lain juga akhirnya akan mengetahui tentang perbuatan terkutuk itu.
“Rasuah adalah suatu kezaliman dan merupakan perbuatan khianat. Mereka akan dibalas oleh Allah SWT di dunia lagi dan di akhirat sebagai penghuni neraka” kata khutbah itu lagi.
Menurut khutbah Jais, perbuatan rasuah meliputi amalan meminta, menawar, menerima suapan, tuntutan palsu, atau menyalah guna jawatan, untuk kepentingan diri, keluarga, dan golongan tertentu.
Ia juga termasuk apa yang disebut oleh umum sebagai duit kopi, pelincir, tumbuk rusuk dan duit tepi samada berbentuk wang tunai atau manfaat berbentuk barangan seperti tukar tayar kereta, melancong, bayar bil, habuan gadis, ubah suai rumah dan sebagainya.
“Berdasarkan maklumat daripada SPRM, pelbagai jenis peringkat manusia yang terlibat dengan amalan rasuah, termasuk kumpulan pengurusan dan profesional, serta kumpulan sokongan, ahli politik dan orang awam.
“Jumlah tangkapan pada tahun 2015 adalah seramai 841 orang. Manakala sehingga November 2016 jumlah tangkapan adalah seramai 898, meningkat seramai 57 orang.
“Jadi, mereka semua ini tidak boleh dibiarkan bermaharajalela, kerana perbuatan mereka boleh dianggap sebagai pengkhianat kepada agama, masyarakat dan negara,” kata kenyataan khubah itu.