Empat pejabat Tourism Malaysia di luar negara ditutup
PADANG RENGAS, 15 Rabiulakhir 1438H, Sabtu – Sekurang-kurangnya empat pejabat Tourism Malaysia di luar negara akan ditutup serta-merta tahun ini berikutan pemberhentian perkhidmatan penerbangan Malaysia Airlines Bhd (MAB) di situ.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, antara pejabat terbabit ialah di New York, Amerika Syarikat; Perth, Australia; Stockholm, Sweden dan Johannesburg, Afrika Selatan.
“MAB menghentikan perkhidmatan penerbangan mereka di bandar-bandar ini. Kalau Tourism Malaysia terus beroperasi dan teruskan promosi, tapi kapal terbang tiada, ia akan jadi agak sukar,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Mohamed Nazri berkata, dengan penutupan pejabat Tourism Malaysia itu, pihaknya akan memberi fokus kepada pejabat lain sedia ada di Eropah selain merancang pembukaan pejabat baharu di China dan India.
“Fokus kita akan diberi di negara besar di Eropah yang ramai pelancong berkunjung ke Malaysia setiap tahun. Mengikut statistik 2015, pelancong dari Britian adalah seramai 400,000, Jerman (40,000) dan Perancis (50,000),” katanya.
Menjelas lanjut Mohamed Nazri berkata, dengan penutupan pejabat pelancongan di bandar itu, ia dapat menjimatkan kira-kira RM4.5 juta kos operasi setahun.
Selain itu, beliau berkata, pemberhentian perkhidmatan penerbangan di beberapa bandar besar Eropah oleh MAB kerana penstrukturan semula syarikat penerbangan berkenaan, menjejaskan jumlah pelancong antarabangsa ke Malaysia.
“Tahun lepas kita menganggarkan 30.3 juta pelancong luar negara dan perbelanjaan sebanyak RM103 bilion, tapi kita tidak berjaya mencapai sasaran itu disebabkan beberapa faktor, namun faktor paling ketara adalah tiada penerbangan.
“Sebab kalau pelancong antarabangsa nak datang ke sesebuah negara mereka akan cari syarikat penerbangan negara itu sebagai contoh kalau nak ke Malaysia, mereka akan pilih MAS,” katanya. – Bernama