Berita UtamaKata PedangUtama

KATA PEDANG: Jika kita lambung batu ke belakang…

Batu jatuh atas kepala orang atau tanah milik China

HARI tu, Perdana Menteri ke China mendapatkan biaya berbilion-bilion ringgit, kononnya untuk melaksana beberapa projek dalam Malaysia, termasuk pembinaan Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL) bernilai RM55 bilion.

Syarikat Malaysia Rail Link Sdn Bhd yang hanya bermodalkan RM2 menandatangani projek ECRL dengan China Communication Construction Company Ltd (CCCC). Menteri kata tak mengapa walaupun syarikat RM2 kerana Kementerian Kewangan berada di belakangnya.

Kementerian Kewangan di bawah kerajaan. Kerajaan adalah rakyat. Jadi rakyat lah yang berada di belakang syarikat RM2 untuk melaksanakan projek RM55 bilion. Nak bayar balik hutang itu pun tentulah rakyat.

Pedang malu, sebab kerajaan tidak melihat syarikat Malaysia terlebih dahulu bagi projek ECRL itu. Mustahil tiada rakyat Malaysia atau syarikat yang pakar dalam pembinaan landasan kereta api. Tapi China juga yang dapat projek. China juga yang dapat tanah di Tanah Melayu ni, walaupun tak boleh dibawa balik ke China.

Macam statement bodoh dikeluarkan menteri Nazri Aziz buat Tun Dr Mahathir Mohamad apabila bekas Perdana Menteri itu mendakwa tanah yang dijual kepada orang asing akhirnya akan menjadikan Malaysia negara asing.

Nazri yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata, tanah negara ini tidak boleh dibawa balik ke negara asal mereka dan mendakwa Tun Dr Mahathir ‘gila’.

“Saya nak tanya Dr Mahathir kalau kita jual tanah sebanyak satu ekar kepada orang luar, lepas tu kita potong- potong tanah itu dan bawa ke China. Di Johor, kalau seekar kita potong-potong kemudian kita boleh ke hantar kepada negara China?,” kata Nazri.

Pedang lihat kenyataan yang dibuat kebanyakan menteri sekarang memang menunjukkan kebodohan mereka. Daripada kata-kata Malaysia Official One hinggalah kepada pemimpin sayap-sayapnya, semua menjadi mainan di laman sosial.

Cuba lah cari komen-komen netizen dalam Whatsapp, Instagram atau Facebook mengenai kenyataan ‘jangan ambil hak rakyat’ beberapa hari lalu.

Itu kisah tanah, kereta api dan dana berbilion ringgit hasil lawatan Perdana Menteri ke China.

Laporan terbaru yang Pedang rasa malu juga ialah kita nak belajar daripada China bagaimana hendak menjaga sempadan rumah sendiri. Pelik! Kenapa China lagi? Itu yang diberitahu oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, semalam, yang sedang melawat China.

Sampai nak jaga sempadan negara sendiri pun kita masih nak belajar daripada orang lain. Walaupun, tak salah, tapi teknologi lain banyak lagi. Kenapa sekarang ini asyik pilih China? Dah la orang China boleh masuk Malaysia dengan visa percuma.

Sekarang ini depan China, kiri China, kanan China, belakang pun China. Pedang hairan apa yang istimewa sangat China. Macam orang bertanya apa yang istimewanya Isa Samad hingga disayangi oleh Perdana Menteri. Dibuang daripada kerusi Pengerusi Felda, tetapi kekal sebagai Pengerusi FGV.

Dulu pada awal 90-an, Pedang adalah antara ‘crime reporter’ di Kuala Lumpur. Masa tu, banyaknya penagih dadah hingga polis pun malas nak tangkap sebab penjara dan lokap penuh dengan penagih. Boleh dikata “kalau lambung batu ke belakang, batu tu akan jatuh atas kepala penagih”. Nak tunjuk ramainya penagih di KL.

Lepas tu, sedikit demi sedikit habis bab penagih di KL. Kemudian, kalau lambung batu ke belakang, batu tu akan jatuh pula atas kepada pendatang asing. Nak tunjuk betapa ramainya pendatang asing, tak kira yang haram atau sah di ibu kota KL.

Kata Pedang: Lepas ini kalau kita lambung batu ke belakang, pastinya batu itu akan jatuh atas kepala orang China atau atas tanah milik China.

Penafian: Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang Ismaweb.net. Pandangan yang diberikan dalam ruang Kata Pedang tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Satu komen

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker