Majlis Peguam saran undang-undang Islam semua negeri diseragam
PUTRAJAYA, 15 Rabiulakhir 1438H, Sabtu – Majlis Peguam Malaysia meminta kerajaan menyeragam undang-undang Islam di semua negeri yang memperuntukan kedudukan yang bertentangan, termasuk berkaitan penukaran agama kanak-kanak.
Majlis Peguam juga mengalu-alukan pembentangan pindaan Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976, November lalu, bagi menangani isu penukaran agama kanak-kanak kepada Islam secara sebelah pihak.
Sehubungan itu, Presidennya, Steven Thiru menggesa kerajaan mempercepatkan cadangan pindaan berkenaan.
Cadangan pindaan itu akan memastikan kanak-kanak berkenaan kekal dalam agama ibu bapanya pada waktu perkahiwnan mereka, sebelum salah seorang pasangan itu kemudian memeluk Islam, katanya pada majlis perasmian istiadat badan kehakiman sempena Tahun Undang-Undang 2017 di sini, semalam.
Ketika cadangan pindaan akta tersebut belum muktamad, katanya, badan perundangan negeri perlu mengelak daripada mengubal undang-undang yang membenarkan penukaran agama secara sebelah pihak.
Steven berkata, penukaran agama kanak-kanak kepada Islam secara sebelah pihak dibawa dalam wacana awam susulan kes mahkamah melibatkan ibu beragama Hindu, M Indira Gandhi dan S Deepa dengan bekas suami masing-masing yang memeluk Islam dan menukar agama anak mereka.
Disember lalu, Dewan Undangan Negeri Perlis meluluskan pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2016 yang membolehkan salah seorang daripada ibu bapa menukar agama anak mereka kepada Islam. – Bernama