Mara, UniKL akur tangguh tajaan kecuali pendidikan
Isu timbul selepas pendedahan Tunku Mahkota Johor beserta dokumen transaksi bank mendakwa Mara, UniKL menaja
The Red Warriors
KOTA BHARU, 15 Rabiulakhir 1438H, Sabtu – Betul atau tidak dakwaan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Pengerusi Mara, Tan Sri Annuar Musa, akhirnya akur dengan keputusan supaya Mara, anak syarikatnya dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL), menangguhkan sebarang bentuk tajaan tahun ini.
Walaupun, sebelum ini Annuar menafikan anak syarikat Mara dan UniKL menaja pasukan bola sepak Kelantan, The Red Warriors, sebagaimana didedahkan TMJ, Kementerian Luar Bandar dan Wilayah telah mengarahkan hanya tajaan berkaitan pendidikan dibenarkan, manakala sebarang penajaan lain perlu diteliti terlebih dahulu.
Terdahulu, TMJ, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, menggesa Annuar menjelaskan mengenai wang Pelaburan Mara dan UniKL, yang dipaksa bagi menaja The Red Warriors. Annuar adalah bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa).
“Sewaktu ekonomi negara tidak begitu baik dan banyak pemotongan di sana sini, masih tergamak Tan Sri menggunakan duit rakyat untuk pasukan The Red Warriors yang mana Tan Sri sendiri merupakan Pengerusi Mara,” kata TMJ dalam laman Facebook Johor Southern Tigers.
Hari ini, Annuar berkata, selain akur dengan arahan menangguhkan penajaan itu, beliau juga bersedia memberi kerjasama penuh menyediakan laporan lengkap berhubung perkara itu untuk tindakan lanjut kementerian.
“Kita akur dengan keputusan yang dibuat dan itu adalah langkah yang baik, daripada buat keputusan terburu-buru. Dan saya akan bekalkan maklumat yang diperlukan.
“Selepas itu sebarang keputusan terserah kepada menteri untuk diputuskan kemudian,” katanya kepada media selepas menyampaikan bantuan ‘Kembali Ke Sekolah di sini.
http://www.ismaweb.net/2017/01/tmj-minta-annuar-jawab-wang-mara-unikl-diguna-taja-red-warriors/
http://www.ismaweb.net/2017/01/annuar-kata-mara-tak-taja-red-warriors/
http://www.ismaweb.net/2017/01/armada-lapor-polis-annuar-guna-wang-mara-taja-red-warriors/