Masalah pakatan pembangkang selesai jika PAN dibubar: Tuan Ibrahim
KOTA BHARU, 15 Rabiulakhir 1438H, Sabtu – PAS menasihatkan parti serpihannya, PAN, supaya memperbaiki dan menyatukan jentera dalamannnya terlebih dahulu, sebelum membuat tuduhan serta mencari kesalahan orang lain.
Malah, PAS bukan punca pakatan rakyat yang ditunjangi bersama PKR dan DAP berkubur, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau berkata, PAN tidak sepatutnya menyalahkan parti lain sebagai punca pakatan rakyat tidak mencapai kata sepakat, sebaliknya masalah dalam pembangkang boleh diselesaikan jika PAN dibubarkan.
“Saya fikir semua pihak harus lihat perkara ini pernah berlaku dan tidak perlu menyalahkan mana-mana parti. Apa yang penting ialah PAS bukan punca kepada apa yang berlaku sekarang,” katanya mengulas dakwaan seorang pemimpin PAN Kelantan.
Beliau menganggap tuduhan yang dibuat oleh Naib Pengerusi PAN Kelantan, Che Ibrahim Mohamed tidak berasas dan tidak masuk akal.
Malah, Tuan Ibrahim berpendapat perbalahan dalam kalangan pembangkan dapat diselesaikan sekiranya PAN dibubarkan.
“Saya ingat parti itu yang menjadi punca perpecahan pembangkang, dia tiada ada pun keperluan untuk menubuhkan parti baharu,” katanya.