Berita UtamaUtama

Anak muda perlu lupakan seteru orang lama, bina landskap politik baru: Ketua Pemuda Isma


Oleh Mohd Firdaus Salleh Hudin

AMPANG, 16 Rabiulakhir 1438H, Ahad – Bagi menjamin perubahan kepada negara, anak muda hari ini diseru membina landskap politik baru yang matang dan terbuka.

Antara yang perlu dilakukan dengan melupakan perseteruan orang lama parti masing-masing, yang saling bermusuhan hingga merugikan dalam sesetengah perkara.

Ketua Pemuda Isma, Muhammad Lukman Al Hakim Muhammad berkata, sebenarnya banyak perkara asas yang boleh dipersetujui oleh parti-parti politik demi kepentingan negara seperti isu melibatkan teras negara dan kemajuan.

“Orang muda perlu lupakan perseteruan orang lama, saya cuba bawa satu paradigma baru, kalau kita boleh jumpa membina landskap politik baru, tanpa kita terlibat dan terikut-ikut dengan cara lama, itulah sebenarnya akan membawa perubahan kepada negara kita,” katanya ketika menjadi panelis forum ‘Kuasa Politik Anak Muda, Apa Mereka Mahu’ anjuran Institute Kepimpinan Zaaba (ZIL) di sini malam tadi.

Katanya, sikap matang berpolitik akan membawa kepada persepakatan pada perkara asas meskipun berbeza parti politik dan inilah yang akan membawa kepada penyelesaian kepada banyak perkara.

“Sebenarnya banyak titik persamaan yang kita boleh bersetuju, tetapi disebabkan emosi, sentimen, atau apa saja kepentingan, kita jadi seolah-olah tidak boleh untuk bersepakat. Kita bukan kata pasal semua kena sertai UMNO, tidak, kita kata, kekal sebagai entiti yang ada tetapi kita bersepakat mengenai beberapa perkara asas, itu sahaja, tidak sesukar yang kita gambarkan sebenarnya,” katanya lagi.

BIJAK MENCIPTA DAN MEMANFAATKAN SALURAN

Pensyarah kanan Jabatan Pengajian Pentadbiran dan Politik, Fakulti Ekonomi dan Pentadbiran Universiti Malaysia, Dr Muhammad Asri Mohd Ali dalam forum sama pula berkata, anak muda hari ini perlu mencontohi tokoh-tokoh Melayu terdahulu dalam membina sendiri saluran untuk menzahirkan pandangan dan memainkan peranan mereka terhadap negara.

Katanya, generasi muda hari memilik banyak saluran bagi menyuarakan pandangan tetapi dengan syarat mesti memiliki kelebihan dan manfaat besar supaya suara mereka didengari.

“Generasi muda terdahulu hebat. Walaupun berada di zaman penjajah, tak ada saluran, maka mereka cipta saluran sendiri. Contohnya Tok Kenali, Haji Nik Mahmud dan Haji Mohd Nor yang telah menubuhkan Majlis Agama Islam Kelantan pada 1915 sekembalinya mereka dari Timur Tengah. Dengan itu, kegiatan Islam terpandu walaupun masih di bawah penjajahan.

“Pendeta Zaaba yang aktif menulis ketika di UPSI akhirnya mencipta gagasan agenda ekonomi Bumiputera yang memberi banyak faedah kepada Melayu hari ini,” katanya.

Oleh itu katanya, pada hari ini, tidak ada sebab anak muda tidak boleh menonjol kerana saluran terlalu banyak. Apa yang penting adalah mereka perlu betul-betul berkualiti supaya idea mereka didengari oleh pihak berwajib.

Forum ini adalah yang kedua dianjurkan oleh ZIL melibatkan panelis mewakili pelbagai parti. Turut menjadi panelis ialah Exco Pemuda UMNO, Tengku Zuhri Tengku Abdul Aziz, Naib Ketua AMK, Radzlan Jalaludin, Exco Pemuda PAN, Nik Abdul Razak dan moderator forum ialah Pegawai Penyelidik ZIL, Ustaz Assiddiq Fauzan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker