GST mansuh jika pembangkang jadi kerajaan
Oleh Athirah Huda Zalhe
SHAH ALAM, 16 Rabiulakhir 1438H, Ahad – Pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) adalah antara tindakan yang akan diambil jika pembangkang menjadi kerajaan.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, GST akan dimansuhkan secara beransur-ansur dan diganti dengan cukai jualan mengikut selera rakyat.
Selain itu, katanya, usaha mempertahankan nilai ringgit juga akan dilakukan tanpa menjual dolar Amerika yang berada di dalam simpanan negara.
Selain itu, pemansuhan GST secara beransur-ansur dengan digantikan cukai jualan mengikut selera rakyat, dan usaha mempertahankan nilai mata wang tanpa penjualan dolar Amerika dalam simpanan negara turut digariskan.
Penasihat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, antara tujuan utama penubuhan PPBM ialah untuk menggembleng kerjasama rakyat bagi mewujudkan kerajaan baharu dalam Pilihan Raya Umum akan datang.
“PPBM akan menjadi komponen dalam parti campuran pembangkang yang akan menggunakan satu simbol, satu manifesto dan hanya satu calon sahaja di setiap kawasan.
“Campuran pembangkang akan sedia untuk menghadapi cabaran perlawanan tiga penjuru atau lebih,” katanya berucap melancarkan Bersatu di Stadium Malawati pada Sabtu.
Tun Dr Mahathir menggariskan beberapa perkara yang akan diperjuangkan Bersatu dalam usaha mencabar Barisan Nasional (BN), termasuk rakyat bebas melapor dan mendakwa jika terdapat salah laku atau jenayah yang dilakukan, tiada pilih kasih dalam menguatkuasa undang-undang negara, kebebasan media dan kebebasan melaporkan kebenaran.