Berita UtamaUtama

Melayu lemah, mudah lupa tetapi bangsa yang boleh bangkit, kata Tun M

Oleh Athirah Huda Zalhe

SHAH ALAM, 16 Rabiulakhir 1438H, Ahad – Melayu memang lemah dan mudah lupa, tetapi bangsa ini bangkit, bersatu dengan melancarkan serangan balas selepas menyedari menjadi orang asing di negara sendiri, kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pemimpin berusia lebih 90 tahun itu mengakui pernah berasa terhina dan tertekan apabila terpaksa bertuankan orang asing yang menjajah negara, sehingga timbul kepercayaan bahawa Melayu adalah bangsa yang kerdil serta tidak berkebolehan.

“Usia yang panjang ini juga memberi kepada saya peluang melihat dengan mata sendiri akan pergolakan dan nasib bangsa saya selama lebih 80 tahun, sewaktu bangsa saya dijajah oleh tiga kuasa asing dari keadaan sebelum merdeka dan setelah merdeka.

“Saya pernah bertuankan penjajah di negara sendiri… perasaan terhina menyelubungi diri apabila terpaksa bertuankan orang asing yang menjajah negara.

“Tetapi, bangsa yang lemah, kerdil, tidak berkebolehan, miskin duit ringgit, ilmu, kekuatan semangat juang, kurang dari segi senjata, bangsa ini lah apabila disedari akan dipisah dari tanah air, bangsa ini tiba-tiba terjaga, bangun dan bersatu menebus semula maruah tanah air,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Stadium Malawati Shah Alam, malam tadi.

Tegas beliau, kesedaran itu juga membawa perpaduan dan menimbulkan kekuatan untuk terus mempertahankan negara yang terus menjadi milik bangsa Melayu dan tidak diserah menjadi tanah jajahan selamanya.

“Rakyat dan Raja-Raja negeri, masing-masing sedar bahawa mereka adalah daripada satu bangsa, yang berbahasa, berbudaya dan beragama yang sama, mereka sedar bahawa Semenanjung Tanah Melayu adalah hak mereka, warisan nenek moyang yang perlu mereka pertahankan.

“Penjajah berasa takut kerana yang tidur sudah pun jaga dan sanggup melakukan apa yang kononnya mereka tidak mungkin lakukan. Negara yang selama ini dijajah dibelenggu oleh Portugis, Belanda, British, Jepun dan Siam tiba-tiba merdeka.

“Merdeka memberi kuasa, kuasa memperbaiki nasib bangsa, menebus maruah, untuk selamatkan warisan nenek moyang,” katanya.

Dr Mahathir berkata, Melayu adalah bangsa yang cukup berbudi bahasa, murah hati, sanggup berkongsi apa yang mereka ada meskipun ia sedikit, malah tiada perasaan merampas hak kaum lain di negara ini.

“Bangsa Melayu dan Pribumi lain boleh, bangsa Malaysia boleh, Melayu boleh! Negara pesat membangun menjelma menjadi negara maju, duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan negara lain.

“Orang Melayu akan dapat bahagian mereka, tanpa merampas hak orang lain. Kita bukan penyamun, kita bukan perompak, kita adalah bangsa bertamadun, bermaruah tinggi, adil dan tidak merampas harta orang. Apa yang kita ada, daripada usaha dan titik peluh sendiri,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.
Papar selanjutnya

Satu komen

  1. Hidup Melayuuu
    atau
    hidup Pribumiiii
    atau
    Allahu Akbar

    “to be burmese is to be buddhish !!!! “period
    burman-buddhist-nationalist
    Malaysian Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel berkaitan

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker