UMNO tunggu masa untuk ditalkinkan: Muhyiddin
Oleh Athirah Huda Zalhe
SHAH ALAM, 16 Rabiulakhir 1438H, Ahad – Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, UMNO tidak akan dapat dipulihkan daripada sakit yang tenat, malah menunggu masa untuk parti berkenaan ‘ditalkinkan’.
Berucap ketika majlis Pelancaran Bersatu di sini malam tadi, beliau berkata, roh dan jiwa perjuangan ahli UMNO yang memberi nafas kepada parti itu telah lama terkubur.
“UMNO berada dalam hujung nyawa. Yang ada hanyalah jasad UMNO yang lemah dan longlai. Kenapa? Ini semua kerana penyakit rasuah politik yang merebak dalam parti itu daripada kepalanya sampailah ke ekornya,” katanya.
Beliau berkata, ucapan menyentuh mengenai UMNO bukan kerana mengingatkan kenangan dan nostalgia ketika berada dalam parti itu, sebaliknya menjadikan ia sebagai iktibar daripada kesilapan yang dilakukan supaya tidak diulangi dalam Bersatu.
“Kita tahu sebab musabab menularnya penyakit politik dalam UMNO ialah kerana lunturnya infaq dan mujahadah dalam parti itu. Mereka tidak lagi berlumba-lumba untuk memberikan sumbangan tenaga, masa atau wang ringgit pada parti seperti mana yang dilakukan oleh pejuang UMNO terdahulu.
“Sebaliknya, mereka mengharapkan habuan daripada pemimpin parti untuk kepentingan diri mereka sendiri, pemimpin pula sanggup melakukan apa sahaja untuk kekal berkuasa,” katanya.
Justeru, beliau menggesa ahli-ahli Bersatu supaya bersama menyubur dan menyebarluaskan budaya infaq dan mujahadah dalam parti itu.
“Kalau mahu lihat parti berjaya, kita mesti menyumbang, berkorban, berjuang dan bersatu.
“Jangan fikirkan soal habuan, pentingkan soal pangkat kedudukan… yang penting menang pilihan raya dan bentuk kerajaan bersama-sama parti politik yang sehaluan dengan kita menyelamatkan Malaysia, dan tawar masa depan yang lebih baik,” katanya.
Kesian………
Skandal Seks sendiri yang tunggu masa utk didedahkan….kahkah kah
Selagi pemimpin pemimpin Parti Melayu tidak berani menyatakan pendirian mereka tentang RUU355, percayalah tiada bedzanya mereka dengan UMNO. Jadi pilihlah Parti yang meletakkan Islam No:1 dalam perjuangan mereka.